Penganalisis: Operasi IOI Corp masih stabil berdepan kelemahan harga minyak sawit mentah global

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis: Operasi IOI Corp masih stabil berdepan kelemahan harga minyak sawit mentah global Image from: Penganalisis: Operasi IOI Corp masih stabil berdepan kelemahan harga minyak sawit mentah global amree03/06/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun IOI Corporation Berhad membuktikan daya tahan operasi ketika harga minyak sawit mentah (MSM) global masih lemah dan margin perniagaan penapisan terus sengit, kata penganalisis.

 

Prestasi tersebut mendorong dua firma penyelidikan mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan berkenaan, meskipun masing-masing berbeza dari segi penarafan saham dan penilaian.


Antaranya, MBSB Research yang terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) turut tidak berubah kepada RM4.42 sesaham dalam tempoh 12 bulan kelak.


"Keuntungan teras suku ketiga tahun kewangan 2026 sebanyak RM284.9 juta, naik 2.1% tahun ke tahun (YoY), melepasi jangkaan dan mewakili lebih 80% daripada unjuran untung setahun penuh," katanya.


Firma itu berkata, prestasi tersebut dipacu oleh dua segmen utama iaitu perladangan dan pembuatan berasaskan sumber, dengan keuntungan segmen hiliran naik 92% berbanding tempoh sama tahun lalu.


Bagi segmen perladangan dikendalikan IOI Corp ujar MBSB Research, keuntungan meningkat 10% kepada RM338.3 juta walaupun harga purata MSM dan isirung sawit (PK) lebih rendah berbanding tahun lalu.


Tambah MBSB Research, peningkatan penuaian tandan buah segar (FFB) iaitu 10.4% dan pengeluaran MSM 16.4%, bersama kos pengeluaran rendah pada RM2,197 setiap tan, turut mengekalkan margin operasi.


Ia menjangka segmen huluan akan terus menyumbang lebih 90% keuntungan operasi kumpulan bagi FY26 hingga FY28, disokong kos pengeluaran yang kompetitif antara RM1,800 hingga RM2,000 setiap tan.


"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran hasil sedia ada berikutan jangkaan prestasi suku keempat yang sederhana susulan faktor bermusim pengeluaran lebih rendah serta harga MSM lemah," katanya.

 

Prospek Bergantung Kepada Pemulihan Harga MSM

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) dalam analisisnya masih mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham IOI Corp dengan TP yang turut tidak berubah kepada RM4.33 sesaham.


Firma penyelidikan tersebut berkata, keuntungan teras selama tempoh terkumpul sembilan bulan FY26 sebanyak RM1 bilion meningkat 15.8% YoY dan dilihat terus berada dalam jangkaan pasaran semasa.


Menurutnya, walaupun hasil suku ketiga susut 2% kepada RM2.6 bilion akibat jualan rendah segmen pembuatan berasaskan sumber, keuntungan masih naik daripada segmen perladangan dan oleokimia.


"Pengeluaran FFB bagi sembilan bulan naik 8.6%, manakala kadar perahan minyak (OER) pula ialah 21.89%, yang menyumbang penurunan kos pengeluaran dan peningkatan keuntungan," kata PublicInvest.


Firma itu turut mengakui segmen oleokimia meraih manfaat peningkatan margin dan sumbangan tinggi syarikat bersekutu, termasuk Bunge Loders Croklaan, disokong prestasi perniagaan mentega koko.


Dari segi prospek, pengurusan IOI Corp menjangka harga MSM bergerak dalam julat RM4,300 hingga RM4,600 setiap tan, bergantung kepada perkembangan dasar industri sawit oleh kerajaan Indonesia.


Selain itu, prestasi segmen oleokimia dijangka bertambah baik berikutan penurunan harga PK sejak April 2026 serta peningkatan aktiviti penyimpanan stok pelanggan susulan konflik di Timur Tengah.


"Kami bersetuju kekuatan operasi ladang, kos pengeluaran rendah serta pemulihan segmen oleokimia terus menjadi pemangkin utama kepada prestasi IOI Corp kelak," jelas firma penyelidikan berkenaan.


PublicInvest dan MBSB Research sependapat yang kumpulan itu tetap kukuh meskipun industri masih berdepan ketidaktentuan harga MSM dan cabaran margin dalam segmen penapisan. - DagangNews.com

Terkini standard