WTK jual syarikat sawit Biogrow pada harga RM90 juta kepada Rimbun Temasek

LocalBusiness & Finance
29 May 2026 • 6:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WTK jual syarikat sawit Biogrow pada harga RM90 juta kepada Rimbun Temasek Image from: WTK jual syarikat sawit Biogrow pada harga RM90 juta kepada Rimbun Temasek johardy29/05/2026 - 18:04 Kilang minyak sawit Biogrow di Limbang, Sarawak. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Mei - Syarikat berpusat di Sarawak, W T K Holdings Berhad menjual aset perladangan Biogrow City Plantations Sdn. Bhd. (BCPSB) kepada Rimbun Temasek Sdn. Bhd. pada nilai tunai RM90 juta dalam usaha membuka nilai aset dan memperkukuh portfolio perladangannya.

 

Cadangan pelupusan itu dijangka menjana keuntungan sekitar RM72.7 juta kepada kumpulan.

 

"Dua anak syarikat milik penuhnya iaitu Biogrow City Sdn. Bhd. (BCSB) dan Bioworld Synergies Sdn. Bhd. (BSSB) telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat bagi melupuskan kepentingan masing-masing dalam BCPSB," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BCPSB terlibat dalam aktiviti penanaman dan pengurusan ladang kelapa sawit serta operasi kilang minyak sawit di Limbang, Sarawak.

 

Aset syarikat itu merangkumi lima lot tanah perladangan seluas 3,487 hektar dengan kira-kira 1,314 hektar telah ditanam, selain sebuah kilang minyak sawit mentah berkapasiti 30 tan metrik sejam.

 

Di bawah cadangan itu, BCSB akan melupuskan 8.5 juta saham biasa mewakili 85% kepentingan ekuiti dalam BCPSB pada harga RM65.6 juta, manakala BSSB akan melupuskan 24.4 juta saham keutamaan boleh tebus pada harga RM24.4 juta.

 

WTK berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk mengoptimumkan peruntukan sumber dan meningkatkan kecekapan portfolio asetnya.

 

Menurut syarikat itu, lokasi aset Biogrow yang jauh daripada operasi utama kumpulan di Miri dan Bintulu menyebabkan ekonomi skala lebih rendah, kos pengangkutan lebih tinggi serta kesukaran mendapatkan tenaga kerja.

 

Selain itu, bentuk muka bumi yang curam dan mencabar turut menyumbang kepada kadar pokok hidup rendah serta hasil tandan buah segar yang kurang memuaskan sepanjang empat tahun lalu.

 

Kilang minyak sawit milik BCPSB juga dikatakan beroperasi di bawah kapasiti optimum.

 

Portfolio perladangan lebih berdaya saing

Pengarah Eksekutif WTK, Francis Lai berkata, cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk membuka nilai daripada aset berprestasi rendah yang terletak jauh daripada kluster utama perladangannya.

 

“Untuk penjelasan, sektor perladangan kekal sebagai segmen utama perniagaan WTK. Namun, aset Biogrow sukar dioptimumkan disebabkan faktor lokasi, bentuk muka bumi dan kekurangan bekalan buah segar pihak ketiga bagi menyokong penggunaan kapasiti kilang,” katanya.

 

Beliau berkata, langkah itu juga akan membantu meningkatkan prestasi portfolio perladangan kumpulan susulan pemerolehan dua ladang kelapa sawit dan sebuah kilang minyak sawit pada April 2026 yang mempunyai hasil dan pengeluaran lebih baik.

 

“Perolehan tunai RM90 juta ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan, meningkatkan fleksibiliti kewangan dan menyediakan modal kerja tambahan ketika kami terus membina asas pendapatan yang lebih mampan,” katanya.

 

Francis berkata, WTK akan terus menilai asas asetnya bagi membuka nilai aset bukan teras atau kurang optimum di samping mencari peluang pengambilalihan yang boleh meningkatkan pendapatan kumpulan.

 

Cadangan pelupusan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham WTK dan dijangka selesai pada suku keempat 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat berkaitan serta tiada sebarang keadaan luar jangka. - DagangNews.com

Terkini standard