amree31/07/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — Pantech Group Holdings Berhad dijangka memasuki fasa pertumbuhan hasil lebih kukuh susulan pemulihan aktiviti minyak dan gas (O&G) domestik serta peningkatan tempahan.
Bagaimanapun, penganalisis mengingatkan syarikat masih berdepan cabaran kenaikan kos bahan mentah di sebalik segmen dagangan dan pertumbuhan eksport dijangka menjadi pemacu utama prestasinya.
Phillip Capital berkata, keuntungan bersih naik 12% kepada RM17 juta, disokong prestasi lebih baik menerusi segmen pembuatan walaupun margin operasi terjejas akibat kelemahan dalam segmen dagangan.
"Prestasi Pantech turut dipacu pemulihan aktiviti dagangan, serta peningkatan jualan pembuatan, manakala kadar cukai efektif yang lebih rendah dilihat membantu meningkatkan keuntungan," katanya.
Firma itu menjangkakan segmen dagangan terus pulih apabila tender projek O&G tempatan kembali rancak, selain penubuhan syarikat bersekutu Avel (Sarawak) Sdn Bhd dijangka mengukuhkan kedudukan.
Justeru, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 83 sen daripada 76 sen sebelum ini selepas menyemak semula asas penilaiannya.

Pada masa sama, ia menyifatkan saham Pantech masih lagi didagangkan pada tahap menarik berbanding prospek pertumbuhan semasa dan hanya perlu memastikan projek baharu direalisasikan kepada hasil.
Sementara itu, TA Securities turut melihat momentum pendapatan semakin bertambah baik apabila keuntungan sebelum cukai meningkat 15% tahun ke tahun, disokong prestasi kukuh segmen pembuatan.
"Walaupun untung segmen dagangan terjejas akibat penghantaran jualan domestik lebih rendah kepada sektor O&G, prestasi bertambah baik dengan permintaan tempatan mula pulih," jelas firma itu.
Ia menjangkakan momentum hasil Pantech terus mengukuh hingga FY28 sejajar pemulihan aktiviti O&G domestik selain peningkatan tempahan sejak awal tahun mengukuhkan keyakinan permintaan industri.
TA Securities turut berpandangan margin kekal berdaya tahan walaupun kos bahan mentah berasaskan nikel dan keluli naik kerana sebahagian besar kos diserap pelanggan melalui harga jualan tinggi.
Sehubungan itu, ia menaik taraf saranan kepada 'beli' daripada 'jual', dengan menaikkan TP kepada 70 sen daripada 60 sen, berikutan prospek pendapatan yang dilihat semakin baik. - DagangNews.com






