Penganalisis saran 'beli' saham Nestlé Malaysia susulan keuntungan lebih kukuh pada 1HFY26

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis saran 'beli' saham Nestlé Malaysia susulan keuntungan lebih kukuh pada 1HFY26 Image from: Penganalisis saran 'beli' saham Nestlé Malaysia susulan keuntungan lebih kukuh pada 1HFY26 amree29/07/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai – Prestasi keuntungan lebih kukuh pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) mendorong penganalisis mengekalkan pandangan positif terhadap Nestlé (Malaysia) Berhad.

 

Mereka berpandangan kumpulan itu berada pada kedudukan baik meneruskan momentum pertumbuhan tahun ini, dipacu permintaan stabil, disiplin pengurusan kos dan keupayaan berdepan ketidaktentuan kos.

 

MBSB Research menaik penarafan kepada 'beli' dan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM116.10 sesaham, selain meningkatkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 antara sebanyak 21% dan 22%.

 

"Penilaian ini didorong prestasi kewangan Nestle yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan domestik ke atas produk pengguna semakin berdaya tahan serta kecekapan operasi semasa," jelas firma itu.

 

Ujarnya, bagi 1HFY26, hasil naik 7.5% kepada RM3.69 bilion manakala keuntungan bersih melonjak 25.1% kepada RM361.3 juta, bersamaan kira-kira 64% daripada unjuran pendapatan tahun penuhnya.

 

Menurut MBSB Research, prestasi itu disokong pertumbuhan jualan merentasi segmen, pengurusan kos berkesan dan peningkatan kecekapan rantaian nilai, serta jualan eksport yang semain stabil.

 

Nestle_DagangNews2026

 

Ia turut menyifatkan pengumuman dividen interim sebanyak 80 sen sesaham, berbanding 70 sen setahun lalu, sebagai menunjukkan keyakinan pengurusan Nestle terhadap prestasi keuntungan syarikat itu.

 

"Prospek kumpulan terus dipacu kekuatan jenama, inovasi produk, dan pendigitalan walaupun berdepan risiko perubahan harga komoditi, kadar pertukaran asing serta corak pengguna berbelanja," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities turut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM124.70 sesaham selepas keputusan suku kedua FY26 mengatasi jangkaan disokong pengembangan margin dan kos lebih rendah.

 

Bagaimanapun, firma itu menjelaskan keuntungan suku kedua susut 11.6% berbanding suku sebelumnya berikutan jualan kembali normal selepas tempoh perbelanjaan musim perayaan pada suku pertama.

 

Secara keseluruhan ujarnya, prestasi 1HFY26 kekal kukuh dengan keuntungan teras meningkat 35% dan ia menjangkakan permintaan pada separuh kedua FY26 kekal stabil, disokong kempen pemasaran agresif.

 

"Inventori bahan mentah yang mencukupi sehingga suku ketiga FY26 serta peningkatan kecekapan operasi dijangka terus menyokong margin keuntungan Nestle," tambah TA Securities. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved