liza03/08/2026 - 12:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Prestasi kewangan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26) berada di bawah jangkaan disebabkan tekanan kos yang berterusan serta kelemahan operasi di Indochina, kata penganalisis.
Selain itu, kelemahan perniagaan di Thailand dan Kemboja, kos permulaan ladang tenusu bersepadu di Malaysia serta tekanan kadar pertukaran asing (FX) terus menghakis keuntungan syarikat, walaupun segmen makanan dan minuman (F&B) Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih kukuh.
Penganalisis juga berpandangan pemulihan F&N bergantung kepada kejayaan operasi kilang susu baharu di Kemboja yang dijangka memulakan pengeluaran komersial pada suku keempat FY26 selain peningkatan prestasi ladang tenusu di Gemas, Negeri Sembilan.
CGSI kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana
CGS International mengekalkan saranan 'Tambah' terhadap F&N, namun menurunkan harga sasaran kepada RM36 sesaham daripada RM37 selepas menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 14.1%, 18.6% dan 3.5%.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras F&N bagi 9MFY26 sebanyak RM302 juta hanya memenuhi 67% daripada unjurannya dan 65% daripada anggaran konsensus yang mencerminkan prestasi lebih lemah daripada jangkaan akibat peningkatan kos operasi.
Menurut CGSI, perniagaan Indochina menunjukkan kestabilan pada suku ketiga FY26 walaupun syarikat masih menanggung kos permulaan kilang susu baharu di Kemboja, manakala program subsidi kerajaan Thailand membantu meningkatkan sentimen pengguna di negara itu.
“Di Malaysia pula, kerugian daripada operasi ladang tenusu terus menjejaskan keuntungan operasi selain kos logistik yang lebih tinggi apabila F&N menghantar produk dari Malaysia ke Kemboja bagi mengurangkan kesan boikot terhadap produk Thailand.
“Bagaimanapun, kami optimis permulaan operasi kilang susu di Kemboja, peningkatan pengeluaran ladang tenusu di Malaysia serta pemulihan secara beransur-ansur sentimen pengguna di Thailand akan menyokong pertumbuhan keuntungan pada FY27,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Firma itu turut menyifatkan penilaian saham F&N masih menarik apabila diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) CY27 sebanyak 19.3 kali berbanding lebih 25 kali bagi syarikat pengguna bermodal besar lain, dengan pemulihan perniagaan tenusu dan Indochina dijangka menjadi pemangkin penarafan semula saham.
Antara risiko utama yang dikenal pasti ialah kemerosotan kesihatan ternakan lembu, kelemahan sentimen pengguna dan ketidakupayaan memindahkan kenaikan kos kepada pengguna.
MBSB Research kekal berhati-hati
Berbeza dengan CGSI, MBSB Research pula mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap F&N serta menurunkan harga sasaran kepada RM25.71 daripada RM28.43 selepas mengurangkan unjuran keuntungan FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 23.2%, 18.1% dan 16.1%.
Menurut firma penyelidikan itu, keputusan 9MFY26 jauh di bawah jangkaan apabila keuntungan teras hanya mencapai 61% daripada unjurannya dan 68% daripada anggaran konsensus berikutan kelemahan berpanjangan di Indochina, kos permulaan ladang tenusu yang tinggi serta asas pendapatan yang kurang menggalakkan.
“Meskipun pendapatan F&B Malaysia meningkat 8.4% tahun ke tahun hasil permintaan yang kukuh terhadap produk seperti 100PLUS Zero, Magnolia, susu segar dan susu UHT serta pengukuhan saluran pengedaran dan jualan eksport, prestasi itu gagal mengimbangi kemerosotan 18.4% hasil F&B Thailand dan Indochina yang terjejas akibat keadaan pasaran yang lembap serta penutupan sempadan Thailand-Kemboja.
“Tekanan terhadap margin keuntungan berpunca daripada sumbangan Indochina yang semakin lemah, kos peningkatan kapasiti ladang tenusu, kesan pertukaran asing serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, MBSB Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek F&N walaupun menjangkakan kilang susu baharu di Kemboja yang dijadualkan memulakan operasi menjelang akhir suku keempat FY26 mampu memperkukuh keupayaan pengeluaran tempatan dan kesinambungan bekalan pada masa depan.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan sumbangan kepada keuntungan dijangka mengambil masa untuk berkembang, menyebabkan kekuatan operasi di Malaysia masih belum mampu mengimbangi ketidaktentuan pemulihan perniagaan di Indochina. - DagangNews.com





