amree29/07/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Pertumbuhan jangka panjang PGF Capital Berhad terus disokong pembukaan kilang baharu di Karangan, Kedah yang akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran tahunan.
Bagaimanapun, penganalisis berpandangan tekanan kos elektrik dan kelewatan operasi komersial dijangka menjadi cabaran yang boleh menjejaskan prestasi keuntungan kumpulan dalam tempoh terdekat.
TA Securities berkata, syarikat masih berada pada landasan kukuh didorong permintaan berterusan terhadap produk penebat kaca, selain projek pembangunan hartanah yang menghampiri fasa pelancaran.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham PGF Capital dengan harga sasaran (TP) RM2.73 sesaham, tanpa mengubah unjuran pendapatan bagi FY27 hingga FY29," jelas firma tersebut.
Menurutnya, hasil naik kepada RM43.7 juta susulan permintaan kukuh dan kenaikan harga jualan, namun keuntungan susut kepada RM7.6 juta akibat peningkatan kos elektrik menyebabkan margin mengecil.
Secara suku ke suku ujar TA Securities, keuntungan meningkat tiga kali ganda disokong kenaikan hasil dan faktor bermusim apabila jualan ke Australia pulih selepas perlahan pada suku sebelumnya.

Ia percaya PGF Capital mampu menjual 20% kapasiti tambahan kepada pelanggan sedia ada, walaupun kenaikan harga gas asli cecair (LNG) dijangka memberi tekanan kepada kos pengeluaran pada 2HFY27.
"Kami berpandangan pengukuhan dolar Australia berbanding ringgit mampu mengurangkan tekanan kos, manakala projek perumahan di Tanjung Malim, Perak dijangka dapat dilancarkan tahun ini," tambahnya.
Sementara itu, Mercury Securities mengambil pendirian berhati-hati apabila menurunkan saranan kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan TP rendah iaitu RM1.72, berbanding RM1.97 sebelum ini.
Keputusan kewangan 1QFY27 berada di bawah jangkaan berikutan kelewatan kemajuan kilang baharu yang hanya memulakan operasi pada Oktober 2026 sekali gus menjejaskan unjuran pengeluaran PGF Capital.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengurangkan unjuran hasil FY27 dan FY28 masing-masing 42% dan 48%, selain menjangka sumbangan segmen pembangunan hartanah adalah kekal minimum.
"Kami namun optimis terhadap prospek jangka sederhana kerana permintaan produk dijangka berkembang, disokong faktor kawal selia serta pertambahan kapasiti pengeluaran," kata Mercury Securities.
Penilaian itu berdasarkan jangkaan apabila kilang baharu beroperasi sepenuhnya, sekali gus menjadikan segmen penebat kaca sebagai pemacu utama pertumbuhan kumpulan. - DagangNews.com






