Penganggur didakwa bunuh bekas isteri

5 May 2026 • 4:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penganggur didakwa bunuh bekas isteri
Penganggur warga Myanmar Aung Tun Ngwa, 26, (baju putih) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di hadapan sebuah blok kondominium di Setapak, bulan lepas. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di hadapan sebuah blok kondominium di Setapak, bulan lepas.

Aung Tun Ngwa, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Aung didakwa membunuh Merry Yet Ngwa, 33, yang juga warga Myanmar di hadapan blok 1, Kondominium Genting Court, Taman Setapak Indah Jaya, dekat sini, pada jam 2.30 petang, 23 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp M. Naresh Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 24 April lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, pihaknya menerima maklumat seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai akibat ditikam oleh bekas suaminya dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman di bahagian dada. - Bernama