
TAWAU: Seorang lelaki yang juga penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang penebar roti canai wanita di kawasan kebun pisang di Lahad Datu, tiga tahun lalu.
Tertuduh Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan yang hanya memiliki sijil kelahiran sebagai dokumen pengenalan diri membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Ridzuan, bapa kepada lima anak didakwa membunuh Sirlin Salleh di kawasan semak di Kampung Pisang antara jam 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan sebatan mandatori sekurang-kurangnya 12 kali bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober tahun ini untuk sebutan lanjut kes dan memerintahkan Ridzuan terus direman.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif hadir bagi pihak pendakwaan manakala Ridzuan diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.
Sebelum ini dilaporkan wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditemukan anggota keluarganya di kawasan semak berhampiran ladang pisang kira-kira 600 meter dari rumahnya.
Mangsa yang juga ibu kepada lima anak dipercayai meninggalkan rumah untuk ke tempat kerjanya pada jam 6.15 pagi pada hari kejadian dan melalui kawasan semak berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan hentakan benda tumpul pada kepala mangsa serta kecederaan akibat libasan senjata tajam pada bahagian lehernya.





