
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya dalam satu pertengkaran, awal bulan ini.
Mohd Armin Amir, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohd Armin didakwa membunuh Amir Azlan Iwan, 22, di lorong belakang deretan kedai di Jalan Peel di sini pada 3.20 pagi, 1 Feb lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 3 April ini untuk sebutan kes bagi laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman manakala peguam Evie Melynda Jee mewakili tertuduh.
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam pada bahagian leher dengan serpihan kaca lampu oleh rakannya dalam satu pertengkaran.
Polis kemudian menahan suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 pada 2.30 petang, 1 Feb lepas. -Bernama
