
Kota Kinabalu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mendera kanak-kanak membabitkan adik tirinya berusia 10 tahun dan 7 tahun.
Mohd Riezwan Mohd Rizal, 19, mengaku bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan kerana melakukan perbuatan itu antara Julai hingga Ogos tahun ini di sebuah rumah sewa di Taman Telipok Ria, Tuaran.
Bagi pertuduhan pertama, Riezwan didakwa mendera adik tirinya berusia 10 tahun dengan menyiram air panas pada bahagian kanan lehernya hingga menyebabkan kulit melecur dan melepuh.
Bagi pertuduhan kedua, dalam tempoh sama di lokasi yang sama, Riezwan didakwa mendera adik tirinya berusia 7 tahun dengan memukul kepalanya menggunakan pemberat (dumbbell) serta menekap senduk panas ke badannya hingga melecur.
Setiap pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum denda RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menangguhkan kes itu ke 6 Okt bagi menunggu laporan sosial tertuduh.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Bryan Francis.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana menyerang seorang lelaki menggunakan pedang samurai semasa pertengkaran di bandaraya.
Mohd Firdaus Safri mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Mujibur Rahman Mangkassar, 34, dengan senjata berbahaya pada jam 2.19 pagi, 22 Mei tahun ini, dekat sebuah kafe di Sutera Avenue.
Firdaus menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan, atau gabungan mana-mana hukuman tersebut.
Menurut pihak pendakwaan, kejadian berpunca daripada pertemuan yang diatur antara rakan Firdaus, Jerhan dan seorang lagi lelaki bagi membincangkan sebuah projek.
Mangsa tiba di lokasi dengan kereta Perodua Myvi berwarna putih, namun berlaku pertengkaran antara mangsa dengan Jerhan.
Firdaus yang menemani Jerhan, kemudian mengeluarkan pedang samurai dan mengejar mangsa.
Mangsa cuba melarikan diri tetapi terjatuh lalu ditumbuk dan diserang menggunakan pedang, menyebabkan kecederaan di kepala, muka dan badan.
Mahkamah diberitahu rakaman dashcam dari kenderaan mangsa menunjukkan Firdaus dan Jerhan menyerang mangsa.
Pemeriksaan forensik turut mengesahkan bahawa senjata yang dirampas iaitu pedang samurai serta pakaian yang dipakai Firdaus semasa kejadian sepadan dengan bukti kes.
Firdaus diperintahkan menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapannya.
Inspektor Yusdi Basri melakukan pendakwaan.


