
SEBERANG PERAI – Seorang penganggur didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah pada dua rumah dan kenderaan dalam tempoh kira-kira sejam, bulan lalu.
Tertuduh, Tan Ting Sheng, 24, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan dua Majistret berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada tembok dinding, pagar besi hadapan rumah serta sebuah van Nissan milik seorang individu berusia 41 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Impian Ria 2, Taman Impian Ria, di sini pada kira-kira pukul 12.10 tengah malam, 19 September lalu.
Majistret Roshayati Radellah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh, selain penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Tidak sampai dua jam kemudian, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap sebuah lagi kediaman di Jalan Tan Sai Gin di sini.
Dalam pertuduhan kedua di hadapan Majistret Sharifah Razali, tertuduh didakwa menyimbah cat merah pada pagar besi hadapan rumah serta bahagian hadapan Honda CR-V milik seorang individu berusia 52 tahun, kira-kira pukul 1.30 pagi pada hari sama.
Sharifah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan dan Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Catherine Joysee.
The post Penganggur didenda RM9,000 khianat dua rumah, kenderaan appeared first on Kosmo Online.






