
GEORGE TOWN – Tindakan seorang penganggur merompak sebuah kedai jam sehingga mencederakan mangsa dengan sebilah kapak akhirnya memakan diri selepas dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ng Peng Kim, 43,mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa cuba melakukan rompakan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki di premis Ban Hin Seng Watch Enterprise, Jalan Anson di sini, kira-kira pukul 4.38 petang, 21 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding, Jun Keong memohon hukuman berat dengan mengambil kira tahap keseriusan jenayah berkenaan yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa mangsa, selain memberi pengajaran kepada tertuduh serta menjadi iktibar kepada masyarakat.
”Mangsa turut mengalami kecederaan akibat perbuatan tertuduh, justeru hukuman berat wajar dikenakan,” katanya.
Hakim Irwan kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula hari ini dan tiga sebatan selain memerintahkan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan.
Mengikut fakta kes, tertuduh memasuki premis berkenaan sambil membawa sebilah kapak sebelum cuba melakukan jenayah rompak.
Dalam kejadian itu, telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan. -KOSMO! ONLINE
The post Penganggur ke penjara, rompak guna kapak hingga mangsa cedera appeared first on Kosmo Online.





