Penganggur mengaku ceroboh rumah wanita dipenjara lima bulan

5 Jun 2026 • 1:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penganggur mengaku ceroboh rumah wanita dipenjara lima bulan
Muhammad Fikrie dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat.

MELAKA - Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang penganggur yang mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah didiami seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Fikrie Roslan, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menceroboh rumah seorang wanita berusia 23 tahun yang digunakan sebagai tempat kediaman di Batu 10, Pantai Kundor Tanjung Kling di sini sekitar jam 4 petang, 30 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan jika sabit salah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bersendirian di rumah ketika kejadian terdengar bunyi ketukan pada pintu biliknya, namun tidak berani membuka pintu kerana ketakutan.

Teman lelakinya ketika sampai di rumah berkenaan mendapati tertuduh berada di rumah berkenaan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah memasuki rumah itu tanpa kebenaran pemilik.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibunya yang menghidap strok separuh badan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak sewenang-wenangnya memasuki rumah orang lain tanpa kebenaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tangkap.