MELAKA - Tindakan seorang lelaki mengugut untuk mencincang dan membunuh ibu saudaranya membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Yusri Yahaya, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
**media[3540459]**
Mengikut pertuduhan, nelayan itu didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa berusia 73 tahun dengan mengancam untuk mencincang dan membunuhnya di Batu 9, Pantai Kundur, Tanjung Kling, kira-kira jam 10 pagi pada 4 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan tidak berpuas hati selepas ditegur oleh ibu saudaranya kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Susulan itu, dia datang ke rumah warga emas berkenaan dengan membawa sebatang besi sebelum mengugut untuk mencincang dan membunuh mangsa.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman penjara minimum dikenakan kerana anak guamnya telah mengakui kesilapan yang dilakukan.
“Tertuduh seorang duda menanggung tiga orang anak dan bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
“Tertuduh telah mengakui kesilapannya dan berjanji akan bertindak dengan lebih diplomatik dalam menangani isu berbangkit pada masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap pada 4 Mei lalu.






