TAWAU - Seorang lelaki tergamak mengugut ahli keluarganya menggunakan pisau selepas tidak diberikan wang RM5 untuk membeli rokok dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai Besar, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, penganggur berusia 30 tahun itu dikatakan mengamuk selepas permintaannya tidak dipenuhi ibunya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum kejadian, ibu suspek sudah memberikan wang RM2 untuk tujuan sama.
"Namun suspek yang juga lelaki tempatan itu bertindak marah sambil menendang perabot rumah dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
"Suspek kemudian bertengkar dengan adiknya dan keadaan menjadi tegang apabila suspek naik semula ke rumah dan mengambil sebilah pisau pemotong daging lalu bertindak merosakkan bahagian pemegang motosikal menggunakan senjata itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, ibu suspek yang bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga lain bertindak membawa keluar seorang lagi anaknya sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di hadapan sebuah rumah di kampung tersebut.
"Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan semasa kejadian untuk siasatan lanjut," katanya.



