
Kota Kinabalu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM2,800 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, Jumaat, kerana mengugut untuk membunuh isterinya dan mengambil dadah.
George Chong, 39, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles melakukan kesalahan pertama iaitu mengugut untuk membunuh isterinya berusia 38 tahun menggunakan pistol jam 1 petang pada 29 Dis, 2023, di sebuah rumah sewa di Kg Mogonibung, Penampang.
Dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
George juga mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more George turut didakwa melakukan kesalahan sama di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya, bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripadanya memandangkan laporan ahli kimia masih belum selesai.
Dalam kes itu, George dibenarkan ikat jamin RM2000 dengan dua orang penjamin tempatan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik memberitahu mahkamah, untuk kes pertama, pada hari kejadian, pertengkaran berlaku antara George dan isterinya apabila isterinya mendapat tahu dia (tertuduh) mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Selain itu, satu lagi punca pertengkaran ialah George sering membawa kawan-kawannya ke rumah. Justeru itu, pengadu bimbang dengan keselamatan dua anaknya berusia 17 dan 15 tahun yang tinggal bersama suaminya.
Pada 24 Dis, isteri tertuduh, yang pulang ke Sabah dari bekerja di Malaysia Barat untuk menyambut Krismas, memeriksa telefon bimbit suaminya dan melihat gambar suaminya bersama wanita lain.
Pada 25 Dis, anak sulung mereka mengaku pernah melihat seorang wanita tidak dikenali di dalam bilik tidur bapanya. Ini menyebabkan pergaduhan antara pengadu dan suaminya.
George menampar muka dan menolak isterinya sehingga dia jatuh ke lantai, yang menyebabkan dia mengalami lebam di tangan kiri dan kaki kanan.
Pengadu juga melihat suaminya memegang pistol tetapi tidak pasti sama ada pistol itu tulen atau palsu.
Pendakwaan turut mengemukakan empat sabitan lampau ke atas George, atas kesalahan merompak antara 2012 dan 2014, dengan hukuman paling lama ialah sembilan tahun penjara.
Peguam Dilantik Carmen Khoo, yang mewakili George, merayu hukuman denda lebih rendah kerana dia perlu menjaga ibunya.
Bagaimanapun, Kelvan memohon hukuman pencegahan.
Di mahkamah sama, seorang pekerja am dijatuhi hukuman kerana mencuri barang.
Mohd Khairul Norman Abas, 28, dijatuhi hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama dua bulan, empat jam sehari.
Dia mengaku bersalah mencuri dua botol minyak wangi Enchanteur ‘Queen of Courage’, tiga botol minyak wangi Enchanteur ‘Fighter of love’, dua botol Vaseline Sun+Poll Lotion, dan dua botol losyen Vaseline Fresh pada 11.30 pagi, 28 Disember, 2023, di Guardian Oceanus Waterfront.
Khairul didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa Khairul memasuki premis itu, mencuri barang-barang itu, memasukkannya ke dalam begnya, dan melarikan diri melalui pintu masuk utama tanpa membuat sebarang bayaran.
Ketika itu, seorang lagi pelanggan ternampak Khairul lalu mengekorinya keluar dari kedai. Pelanggan itu menangkap Khairul dan membawanya kepada penyelia.
Peguam Dilantik Mohd Nazri Zikri, yang mewakili Khairul, meminta hukuman dikenakan bermula dari tarikh dia ditangkap kerana dia merupakan pencari nafkah tunggal untuk keluarganya.
Nazri juga berhujah bahawa Khairul tidak mempunyai rekod sabitan lampau.
Kelvan memohon hukuman pencegahan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
