Penganjur George Town Festival Mohon Maaf, Tarik Balik Video Kontroversi

Music
16 Jul 2024 • 6:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
- Gambar Facebook

KUALA LUMPUR – Pihak Penganjur George Town Festival 2024 GTF tampil memohon maaf dan bertindak menurunkan semua siaran berkaitan dengan video kontroversinya di halaman media sosial, laman sesawang dan juga saluran YouTube George Town Festival.

Menurut pihak penganjur festival itu, tindakan tersebut dilakukan demi mengurangkan salah faham kononnya mereka mengenepikan elemen kebudayaan melayu.

“Pasukan George Town Festival 2024 berasa kesal dengan video teaser promosi yang dengan tidak sengajanya telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan.

“Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan dan kesultan, kekhilafan dan salah faham yang mungkin tertimbul. Kami akan terus berusaha untuk menjayakan George Town Festival 2024 dengan rendah diri,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, pasukan itu menafikan mereka tidak mempromosikan semangat muhibbah dalam penganjuran festival tersebut.

Pasukan festival itu menjelaskan menjelaskan bahawa mereka telah mencuba sedaya upaya dalam memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang.

“Ini termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival.

“Malahan, kami telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam teaser video tersebut. 

“Kebudayaan Melayu memang kaya dengan elemen kesenian dan kebudayaan yang telah ditonjolkan dalam George Town Festival setiap tahun,” katanya.

Pasukan itu menambah, bagi penganjuran tahun ini, terdapat lapan program daripada individu dan kumpulan masyarakat Melayu mengisi kalendar festival.

“Pasukan George Town Festival 2024 akan terus mempromosikan George Town Festival sebagai festival yang memupuk semangat muhibah demi mewujudkan masyarakat Malaysia madani yang makmur,” katanya.

Sebelum ini Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) yang juga pertubuhan Melayu tertua di negara ini mengecam tindakan GTF kerana tidak memasukkan budaya Melayu dalam klip video promosi acara sempena festival itu yang diadakan bulan ini.

Presiden PEMENANG Mohd Yussof Latiff berkata, pertubuhan berusia 97 tahun itu kecewa selepas menonton video promosi festival berkenaan yang menunjukkan persembahan kebudayaan Cina dan India, tetapi langsung tidak memasukkan elemen budaya Melayu.

Yussof berkata klip video promosi bertemakan “Here and Now” itu tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu. – Getaran, 16 Julai 2024