
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, festival muzik Makar Fest XL telah berlangsung di Mydin Tunjong, Kota Bahru, Kelantan pada 29 hingga 31 Januari lalu.
Pun begitu, tular di media sosial apabila sekumpulan penonton melakukan pergerakan yang disifatkan sebagai menyalahi garis panduan yang ditetapkan di negeri itu.
Menerusi video tular, dapat dilihat segolongan lelaki muda sedang berseronok melakukan ‘mosh’ di hadapan pentas ketika persembahan penutup oleh band Kugiran Masdo sedang berlangsung.
Meskipun kelihatan ganas, rakaman dalam video tidak menampakkan sebarang percampuran antara lelaki dan perempuan yang berlaku.
View on Threads
Pengarah Makar Fest XL Mohon Maaf, Jelaskan Penganjuran Mengikut Garis Panduan
Terbaharu, Pengarah Festival Makar Fest XL, Issey Fazlisham, telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa tahun ini merupakan kali kelima festival itu dianjurkan.
Menerusi hantaran video di Facebook, Issey yang juga pelawak dan penyampai radio, menjelaskan bahawa festival itu telah dianjurkan mengikut Garis Panduan Enakmen Hiburan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Tambahnya lagi, pihak penganjur turut menayangkan video etika panggung yang bertujuan memberi peringatan kepada semua pengunjung tentang perkara yang dilarang dan dibolehkan ketika menonton acara pentas.
“Contohnya berkaitan dengan pengasingan lelaki dan perempuan, tidak boleh buang sampah, tidak boleh berjoget, harus tertib dan juga beradab.
“Pada malam itu, saya juga sebagai pengacara, setiap kali saya naik (ke pentas) saya akan ingatkan kepada semua penonton supaya tidak berjoget dan menjaga adab dan tertib sepanjang acara berlangsung,” jelasnya.
Jumlah Penonton Melebihi Jangkaan Penganjur, Kawalan Lebih Mencabar
Issey bagaimanapun menjelaskan bahawa terdapat segelintir individu yang berada di luar kawalan pihak penganjur yang didapati melakukan pergerakan bertentangan dengan garis panduan ditetapkan.
“Pihak kru, keselamatan dan juga pasukan Makar Fest telah bertindak dengan segera sebaik sahaja situasi tersebut dikesan,” katanya.
Dia juga mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan penonton yang hadir melebihi jangkaan pihak penganjur, sekali gus menjadikan kawalan lebih mencabar.
“Depan sampai belakang kami dah buat pengasingan. Apabila semua dah penuh, belakang ini kami tak dapat kawal. Namun team kami cepat bertindak.
“Pihak penganjur sentiasa komited dan mengambil tindakan pantas bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sentiasa terjamin. Namun ada juga yang di luar kawalan. Itu yang kami memohon maaf sangat,” ujarnya.
Penganjur Makar Fest Bakal Berdepan Denda Maksimum RM30,000, Wang Cagaran RM8k Ditarik Balik
Dalam pada itu, Awani melaporkan penganjur festival Makar Fest bakal berdepan penalti termasuk denda maksimum RM30,000 kerana kegagalan mematuhi Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah, wang cagaran berjumlah RM8,000 juga telah ditarik balik.
Malah katanya lagi, pihak penganjur turut berdepan risiko disenarai hitam sekiranya gagal melunaskan kompaun terbabit.
Beliau menjelaskan pelanggaran garis panduan telah berlaku semasa persembahan oleh Kugiran Masdo kira-kira jam 10.30 malam, Sabtu (31 Januari).
“Walaupun penguat kuasa dan kru berjaya mengeluarkan beberapa penonton yang membuat provokasi serta kumpulan penonton yang didapati telah melanggar garis panduan hiburan, namun keadaan tidak berjaya dikawal oleh penganjur serta masih berulang,” ujarnya.
Dikesan Berlaku Percampuran Lelaki & Wanita Di Festival
Tambah Hilmi lagi, Pegawai Pelesen mendapati penganjur telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 menerusi laporan bertulis Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta rakaman video yang tular.
“Penganjur didapati gagal menghentikan persembahan bagi mengawal keadaan. Turut dikesan berlakunya percampuran antara pengunjung lelaki dan wanita berikutan kedatangan penonton di luar dugaan tanpa ditempatkan petugas keselamatan secukupnya sebagaimana disyaratkan,” katanya dipetik Awani.
Dalam masa sama, Hilmi berkata hasil pemantauan mendapati semua artis jemputan lain mematuhi enakmen dan garis panduan dengan festival makanan yang memperoleh kelulusan MPKN BRI.

