Penganjur Makar Fest XL mohon maaf isu tular

LocalEntertainment
4 Feb 2026 • 10:05 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Penganjur Makar Fest XL memohon maaf berhubung isu tular di media sosial berkaitan penganjuran festival berkenaan yang berlangsung baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa acara tersebut telah dilaksanakan mengikut garis panduan hiburan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pengarah Festival Makar Fest XL, Issey Fazlisham, berkata penganjuran berkenaan yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan edisi kelima dianjurkan pihaknya dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah diambil pihak penganjur bagi memastikan pematuhan peraturan sepanjang acara berlangsung, termasuk menayangkan video etika pentas sebelum persembahan bermula sebagai peringatan kepada pengunjung mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang.

“Antara penekanan utama ialah pengasingan lelaki dan perempuan, larangan berjoget, menjaga kebersihan serta memastikan adab dan tertib dipatuhi sepanjang menikmati persembahan,” katanya.

Beliau yang turut bertindak sebagai pengacara pada malam tersebut berkata, peringatan secara langsung juga sentiasa diberikan kepada penonton agar menikmati muzik secara berdisiplin dan tidak melakukan pergerakan yang melanggar garis panduan hiburan.

Walau bagaimanapun, Issey mengakui terdapat segelintir individu yang berada di luar kawalan pihak penganjur dan didapati melakukan pergerakan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pasukan keselamatan dan kru telah bertindak segera sebaik sahaja situasi tersebut dikesan,” jelasnya.

Tambah beliau, jumlah kehadiran penonton pada malam berkenaan adalah melebihi jangkaan penganjur, sekali gus menjadikan kawalan lebih mencabar di beberapa kawasan tertentu, khususnya apabila kapasiti pengunjung telah penuh.

“Walaupun pengasingan telah dilaksanakan dari bahagian hadapan hingga ke belakang, terdapat kawasan yang sukar dikawal sepenuhnya apabila jumlah pengunjung terlalu ramai. Namun, pasukan kami tetap berusaha mengambil tindakan sebaik mungkin,” katanya.

@makarfest

PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA Kami pihak penganjur Makar Fest XL ingin memohon maaf secara terbuka atas segala kekurangan dan perkara yang telah menimbulkan rasa kurang selesa kepada mana-mana pihak sepanjang penganjuran berlangsung. Kami menerima setiap teguran dengan hati terbuka sebagai ruang untuk menilai, memperbaiki dan memperkemaskan lagi penganjuran pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua yang terus menyokong, memberi nasihat serta memahami perjalanan kami. Issey Fazlisham Festival Director, Makar Fest XL

♬ original sound – Makar Fest 2026 – Makar Fest 2026
Baca juga:

Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf kepada semua pihak atas sebarang kekhilafan yang berlaku dan menegaskan komitmen mereka untuk terus menambah baik aspek pengurusan dan kawalan pada penganjuran akan datang.

“Kami sentiasa terbuka menerima teguran dan cadangan demi memastikan penganjuran yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Issey turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap Makar Fest XL dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang di Kelantan.

The post Penganjur Makar Fest XL mohon maaf isu tular appeared first on The Reporter.