Penganjuran berkelas tersendiri LTdL 2023 bukti kemampuan MSN

1 Oct 2023 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2023 menamatkan peringkat terakhir LTdL 2023 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5 kilometer di Menara Berkembar Petronas pada Sabtu. Foto Bernama

image is not available
Peloton pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dilihat melalui laluan perlumbaan pada LTdL peringkat terakhir dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5 kilometer pada Sabtu. Foto Bernama

PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berakhir semalam, membuktikan keupayaan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur dalam memastikan perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Asia itu berada dalam kelasnya tersendiri.

Tatkala pelbagai ranjau dihadapi termasuk kekurangan penyertaan pasukan WorldTeam, kerjasama erat semua pihak terutamanya 22 pasukan bertanding dan pihak logistik yang bertungkus lumus bekerja di setiap lokasi perlumbaan, berjaya memastikan kelancaran serta kemeriahan penganjurannya.

Baik daripada sudut promosi, liputan siaran langsung mahupun percaturan saingan perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak sejauh 1,278.1 kilometer (km) itu, tidak disangkal ia telah dikendalikan secara profesional oleh penganjur.

Perkara tersebut diakui Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, susulan apa yang dirancang berjalan lancar bermula daripada sesi pengenalan pasukan sehinggalah ke saingan LTdL peringkat terakhir semalam.

**media[2367021]**

"Kemeriahannya adalah luar biasa dan bila masuk ke peringkat pertama sampai kelapan kita lihat perlumbaan secara keseluruhan berjalan dengan sangat lancar cuma ada kemalangan kecil serta beberapa masalah kecil.

"Saya lihat juga bahawa kita punya penyiaran televisyen tahun ini mendapat pujian Eurosport (rangkaian televisyen sukan berbayar antarabangsa). Tidak ada isu langsung dan standard jauh lebih baik dengan ada grafik setanding perlumbaan Vuelta Espana dan Tour de France,” katanya.

Cetusan idea untuk memperkenalkan penggunaan kamera badan di dalam kereta pasukan bertanding, dalam masa sama menjadikan saingan LTdL kali ini tampil menarik minat penonton mengikuti rapat perlumbaan edisi ke-27 itu di media sosial.

"Maksudnya tahap penyiaran kita pun meningkat tinggi. Begitu juga dari media sosial termasuk Facebook, TikTok saya jangkakan mampu memperoleh tanda suka dan tontonan melebihi 30 hingga 40 juta tahun ini,” katanya.

Penambahan beberapa pasukan WorldTeam dari Eropah pada tahun depan, juga diharap dapat menambah kemeriahan LTdL sekali gus melonjak statusnya berada sebaris perlumbaan berbasikal terkemuka dunia seperti Vuelta a Espana, Giro d'Italia dan Tour de France.

"Tahun depan kita ada jangka masa yang agak panjang untuk bermula dengan penambahbaikan jabatan yang berkait dengan penaja, jadi saya rasakan tahun depan kita punya penajaan akan jadi lebih besar.

"Jika penajaan lebih besar kita boleh tambah baik penganjuran misalnya penyertaan WorldTeam boleh ditambah kepada empat atau lima pasukan dan kemudiannya kita boleh dapatkan kualiti penunggang yang lebih baik,” katanya. - Bernama