Penganjuran Gemersit Bumi perkukuh ekosistem TVET

1 Nov 2026 • 5:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penganjuran Gemersit Bumi perkukuh ekosistem TVET

PETALING JAYA – Seminar Gerakan Memperkasa Skil & Industri TVET Negara (Gemersit Bumi) telah diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai salah satu usaha untuk memperkukuhkan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Bagi melancarkan lagi penganjuran tersebut, satu memorandum persefahaman dan surat persefahaman telah dimeterai oleh  KLNET Akademi di bawah naungan KESO Legacy Network, Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia (PGGPM) serta rakan-rakan strategik daripada agensi kerajaan, sektor korporat, institusi pendidikan dan latihan, badan profesional, persatuan industri serta pertubuhan berkaitan.

Majlis ini menjadi platform untuk membina persefahaman, memperkukuh jaringan kerjasama dan menggerakkan usaha bersepadu antara pihak kerajaan, industri, institusi latihan dan masyarakat dalam memperluas akses kepada latihan kemahiran, pembangunan kompetensi, peluang pekerjaan serta keusahawanan berasaskan kemahiran.

Menurut kenyataan KLNET Akademi, pemeteraian persefahaman ini akan dapat membina asas kerjasama jangka panjang yang berorientasikan hasil, berdaya laksana dan memberi manfaat kepada peserta, komuniti, industri serta negara.

Image from: Penganjuran Gemersit Bumi perkukuh ekosistem TVET

“Penganjuran Gemersit Bumi dilihat dapat memperkukuhkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam sektor pekerjaan serta keusahawanan berasaskan kemahiran.

“Inisiatif ini memberi perhatian khusus kepada golongan belia, pelajar sekolah menengah yang cenderung kepada bidang kemahiran, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), komuniti setempat, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta kumpulan sasaran lain yang berpotensi dibangunkan melalui latihan kemahiran dan peluang ekonomi yang bersesuaian,” jelasnya.

Tambah kenyataan tersebut, TVET bukan sekadar laluan alternatif kepada pendidikan akademik, sebaliknya merupakan landasan penting untuk melahirkan tenaga kerja kompeten, usahawan berkemahiran dan tenaga profesional yang mampu memenuhi keperluan industri semasa serta masa hadapan.

“Antara sektor yang berpotensi diteroka termasuk kecantikan dan kesejahteraan, penjagaan diri, hospitaliti, kulinari dan makanan serta minuman (F&B), pelancongan, perkhidmatan komuniti, teknologi digital dan bidang kemahiran lain yang bersesuaian dengan permintaan pasaran.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini berhasrat menggalakkan penglibatan sektor korporat, persatuan usahawan, institusi latihan dan organisasi masyarakat dalam menyumbang kepada pembangunan bakat, peluang latihan industri serta pembukaan laluan ekonomi yang lebih inklusif,” ujarnya.

 

The post Penganjuran Gemersit Bumi perkukuh ekosistem TVET appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved