BNM tubuh pasukan petugas khas kaji penyelesaian kurang kos insurans pemandu e-hailing

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: BNM tubuh pasukan petugas khas kaji penyelesaian kurang kos insurans pemandu e-hailing

KUALA LUMPUR - Satu Pasukan Petugas Khas Inter-Agensi (IATF) ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengkaji dan mengesyorkan jalan penyelesaian untuk mengurangkan kos insurans kepada pemandu e-hailing serta meneliti pembaharuan dalam ekosistem insurans dan takaful e-hailing.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, pembaharuan tersebut termasuk penambahbaikan terhadap skop dan struktur perlindungan e-hailing supaya lebih bersesuaian dengan keperluan pemandu.

Jelasnya, ia juga termasuk memperkenalkan perlindungan insurans atau takaful e-hailing yang mencerminkan tahap penggunaan (berdasarkan jarak – per km) dan risiko pemandu selain mekanisme perkongsian risiko dan kos antara syarikat pengendali platform perkhidmatan e-hailing (EHO), pemandu e-hailing dan penumpang e-hailing.

“Selain itu ia juga mempertingkatkan perkongsian data di antara EHO dengan syarikat insurans dan takaful untuk menyokong pengesahan tuntutan insurans e-hailing serta penilaian risiko yang lebih baik.

“Pembaharuan itu juga mencadangkan penggunaan teknologi seperti telematic bagi menggalakkan tingkah laku pemanduan yang lebih selamat untuk mengurangkan risiko keselamatan jalan raya,’’ kata MOT dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin yang ingin mengetahui mekanisme digunakan kerajaan untuk menangani kenaikan premium insurans dan takaful e-Hailing.

Mengulas lanjut, MOT berkata, ketetapan yang mewajibkan perlindungan insurans bagi kenderaan yang beroperasi di atas jalan raya di bawah Seksyen 90(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan (MOT) bertujuan memastikan wujudnya elemen perlindungan keselamatan sekiranya berlaku insiden atau kemalangan yang melibatkan pemandu, penumpang dan pihak ketiga sama ada kecederaan nyawa atau kerosakan harta benda.

MOT memberitahu, aspek perlindungan keselamatan sosial pemandu e-hailing pula adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan perundangan yang berkaitan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4], Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789], dan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] yang ditadbir urus dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Dalam pada itu, MOT memberitahu kementerian itu sedang bekerjasama dengan BNM, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta wakil-wakil pemain industri e-hailing, dan insurans dan takaful, serta persatuan pemandu e-hailing untuk mengenal pasti dan meneliti cadangan-cadangan penambahbaikan terhadap ekosistem, skop dan struktur perlindungan insurans e-hailing bagi jangka masa panjang. - 28 Oktober, 2026

The post BNM tubuh pasukan petugas khas kaji penyelesaian kurang kos insurans pemandu e-hailing appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved