Pengantin Wanita Maut, Suami Tidak Sedarkan Diri Ketika Bulan Madu

Entertainment
11 Oct 2025 • 1:28 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kegembiraan sepasang pengantin baru yang sedang berbulan madu bertukar tragedi apabila si isteri ditemui maut manakala suaminya tidak sedarkan diri di sebuah resort pelancongan terkenal di Lakeside Alahan Panjang, Kabupaten Solok, Sumatera Barat, pada pagi Rabu lalu.

Pasangan berkenaan, dikenali sebagai Cindy Desta Nanda dan Gilang Kurniawan, dilaporkan mendaftar masuk ke resort berkenaan pada petang Selasa sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri keesokan paginya.

image is not available

Menurut laporan Sinar Harian, pihak resort mula curiga apabila pasangan itu tidak memberi sebarang maklum balas terhadap panggilan telefon dan ketukan pintu sejak malam sebelumnya.

Sekitar jam 7.30 pagi, pintu bilik dibuka menggunakan kunci pendua dan petugas terkejut mendapati Cindy terbaring tidak bernyawa berhampiran pintu bilik mandi, manakala Gilang ditemui lemah di lantai bilik air.

Bantuan kecemasan segera diberikan sebelum kedua-duanya dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Alahan Panjang.

Hasil pemeriksaan awal mendapati Cindy telah meninggal dunia sekitar jam 8.35 pagi, sementara Gilang masih hidup tetapi tidak sedarkan diri dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Daerah Arosuka untuk rawatan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, pihak polis percaya punca kejadian mungkin berpunca daripada masalah sesak nafas, namun keputusan penuh daripada pasukan perubatan masih ditunggu untuk mengesahkan sebab sebenar kematian.

Polis turut merampas beberapa barangan dari lokasi kejadian bagi membantu siasatan, termasuk makanan dan minuman yang dipesan pasangan itu pada malam sebelum insiden.

Keterangan saksi juga menunjukkan pasangan berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan sebelum kejadian, malah sempat membuat pesanan makanan dan berinteraksi dengan kakitangan resort seperti biasa.

image is not available

Insiden tragis ini menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial, dengan ramai meluahkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan berharap hasil siasatan rasmi dapat diumumkan segera.

Orang ramai turut menyeru agar pihak berkuasa meneliti kemungkinan faktor lain seperti kebocoran gas atau masalah ventilasi bagi mengelakkan kejadian serupa berulang di masa hadapan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.