
SHAH ALAM, 21 OKT: Pengarah unit sebuah agensi kerajaan direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM30 juta yang dipercayai diterima daripada beberapa syarikat.
Wang suapan itu dipercayai sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mengurangkan bayaran cukai taksiran yang keseluruhannya berjumlah RM140 juta, lapor Berita Harian.
Perintah reman sehingga 26 Oktober dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dilaporkan ditahan kira-kira jam 2.30 pagi tadi ketika bersembunyi di sebuah hotel di Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati penjawat awam itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit dari 2025 hingga tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.






