
SANDAKAN: Seorang pengarah syarikat didenda RM12,000 atau penjara enam bulan serta dikenakan penalti khas RM81,839.52 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis, kerana gagal mengemukakan penyata cukai pendapatan (Borang B) bagi tahun taksiran 2020 dan 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Betty Lee Oi Lin, 55, yang juga pengarah dan penerima syer sebuah syarikat perkongsian di sini, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry.
Penalti khas itu adalah tiga kali ganda cukai dikenakan bagi tahun taksiran 2020 (RM16,126.70) dan RM11,153.12 bagi tahun taksiran 2021 dengan jumlahnya RM27,279.80 bagi dua tahun taksiran itu.
Lee didakwa di bawah subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 kerana gagal mengemukakan Borang B untuk dua tahun taksiran atau lebih iaitu bagi 2020 dan 2021, dalam tempoh yang ditetapkan sebagaimana yang dikehendaki di bawah perenggan 77(1)(a) ACP 1967.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM1,000 dan RM20,000, atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya sekali, serta penalti khas dibayar kepada LHDN sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa dari LHDN, Arsyad Hasanuddin dan Mohd Kamarulzaman Mohd Nor berhujah kesalahan dilakukan wanita itu adalah serius, selain berulang.
Semasa rayuan, wanita yang tidak diwakili itu berkata, dia tidak menghantar borang penyata cukai pendapatan pada 2018 kerana ayahnya menghidap kanser hati dan dia fokus menjaganya, selain berlakunya pandemik.
Lee membayar denda tersebut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
