Pengarah Hak Asasi Manusia Letak Jawatan Sebab Anggap PBB Gagal Halang Kekejaman Di Palestin

1 Nov 2023 • 4:15 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pengarah daripada Badan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Craig Mokhiber telah meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap pertubuhan itu. Beliau menyifatkan bahawa PBB gagal menjalankan tugas halang kekejaman Israel terhadap Palestin.

Surat perletakan jawatannya itu tular di media sosial dengan memperkatakan bahawa Amerika Syarikat, United Kingdom dan sebahagian kuasa besar Eropah telah bersubahat sepenuhnya dalam serangan ngeri berkenaan.

Jelas Mokhiber akui bahawa PBB sekali lagi dilihat tidak berdaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di hadapan mata.

“Sebelum ini, PBB telah gagal menghalang pembunuhan beramai-ramai terhadap Tutsi di Rwanda, Muslim di Bosnia, Yazidi di Kurdistan Iraq dan Rohingya di Myanmar.”

“Pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin adalah kesinambungan penganiayaan selama berdekad-dekad..dan ia hanya berdasarkan sepenuhnya status mereka sebagai orang Arab.”

Tambah beliau, peristiwa berdarah di Palestin ini adalah contoh yang menepati definisi pembunuhan beramai-ramai.

“AS, UK dan kebanyakan negara Eropah bukan sahaja enggan mematuhi kewajiban perjanjian di bawah Konvensyen Geneva, malah mengukuhkan serangan Israel serta menyediakan perlindungan diplomatik dan politik.”

Dalam surat tersebut, Mokhiber juga menyeru agar kezaliman di Israel dihentikan dan menyokong penubuhan negara sekular tunggal yang demokratik di seluruh Palestin dengan hak yang sama diberikan kepada orang Kristian, Islam dan Yahudi.

Sebagai info, Mokhiber telah bekerja dengan PBB sejak 1992 dan beliau berkhidmat dalam beberapa jawatan yang berpengaruh tinggi.

Beliau juga mengetuai kerja pesuruhjaya tinggi dalam merangka pendekatan pembangunan berasaskan hak asasi manusia dan bertindak sebagai penasihat kanan hak asasi manusia di Palestin, Afghanistan dan Sudan.

Dalam peranannya sebagai pengarah pejabat pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia di New York, beliau pernah diserang oleh kumpulan pro-Israel kerana komennya di media sosial.

Sumber: X, Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.