Pengarah & Pelakon Mentega Terbang Terima Ugutan Bunuh, Kereta Disimbah Asid

Entertainment
16 Mar 2023 • 4:25 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sejak beberapa minggu lalu, filem Mentega Terbang telah mencetuskan kontroversi di negara ini kerana menyentuh sensitiviti agama Islam.

Filem tersebut yang sebelum ini disiarkan secara percuma di aplikasi Viu pada Januari lalu telah dibawa turun selepas mendapat pelbagai kritikan khususnya umat Islam.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa kereta milik pengarah dan pelakon filem terbabit telah disimbah asid dan cat oleh individu yang dipercayai tidak berpuas hati dengan penghasilan filem tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka juga mendapat beberapa keping nota berbaur ugutan bunuh.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wartawan SCMP di Twitter, Amer Hadi Azmi. Kelihatan kereta jenis Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih dipenuhi kesan simbahan acid dan cat merah.

“Ingat family selamat Mentega Terbang,” tulis salah satu nota ugutan bunuh.

Hal ini telah mendapat perhatian orang ramai, rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan melampau individu terbabit sekalipun berang dengan isu ini. Malah, tindakan ini juga dilihat akan memburukkan lagi imej agama Islam.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil turut mengecam perbuatan individu berkenaan.

Jelasnya, orang ramai perlu mematuhi undang-undang dan tidak terburu-buru membuat keputusan sendiri sehingga boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa.

Semalam, pihak polis telah selesai merakam percakapan pengarah dan enam pelakon berhubung kes filem tersebut di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.