KUALA LUMPUR - Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang serta Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dinaikkan pangkat dalam rombakan kepimpinan agensi itu berkuat kuasa Jumaat.
SPRM memaklumkan kenaikan pangkat tersebut melibatkan Datuk Y Karunanithy dan Datuk Mohd Hafaz Nazar.
Menurut kenyataan itu, Karunanithy dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Beliau sebelum ini merupakan Pengarah SPRM Pulau Pinang,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Sementara itu, Mohd Hafaz pula dilantik sebagai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM.
"Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia,” menurut kenyataan sama.
SPRM menjelaskan, pelantikan dan kenaikan pangkat tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh struktur kepimpinan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Pelantikan dan kenaikan pangkat ini melibatkan pegawai yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi serta integriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.
Tambah kenyataan itu, langkah berkenaan juga adalah pengiktirafan terhadap dedikasi dan kecemerlangan pegawai dalam menyumbang kepada organisasi.
"SPRM yakin kedua-dua pegawai ini akan terus memacu kecemerlangan serta memperkukuh tadbir urus yang berintegriti sejajar dengan komitmen agensi dalam memperkasakan modal insan yang kompeten, berakauntabiliti dan berorientasikan prestasi,” katanya.
Sehubungan itu, SPRM berharap semua pegawai yang terlibat dapat terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta menjunjung prinsip integriti dalam setiap aspek tugas.






