
JEHAN Miskin bukan sekadar pelakon yang pernah mencipta nama dalam industri hiburan tanah air, tetapi juga seorang pengacara, pengarah dan kini penerbit yang semakin kukuh di belakang tabir.
Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu suatu ketika dahulu cukup sinonim di kaca televisyen, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kelibatnya semakin jarang kelihatan, satu perubahan yang sebenarnya datang daripada pilihan hidup yang dibuat dengan penuh sedar.
Selepas lebih sedekad dalam dunia lakonan, Jehan mengakui dia sendiri yang membuat keputusan untuk memperlahankan langkah.

“Percaya atau tidak, kali terakhir saya berlakon adalah sekitar 2015. Sekarang dah 2026, dah dekat sembilan tahun.
"Saya memang consciously buat keputusan untuk beralih fokus sebab saya ada production house sendiri,” kongsinya.
Jehan berkata demikian kepada SinarPlus ketika ditemui dalam majlis Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment.
Melalui syarikat produksinya, Mastermind Group, Jehan kini memberi sepenuh perhatian kepada kerja-kerja di belakang tabir yang sudah dibangunkan sejak 2009.
“Production house tu dah lebih kurang 16 hingga 17 tahun. Kami banyak fokus pada kerja-kerja komersial, iklan dan kolaborasi dengan brand.
"Team saya pun ramai yang dah lama dengan saya, ada yang 10 hingga 15 tahun. Jadi tanggungjawab saya bukan kecil. Keputusan itu bukan sekadar soal kerjaya, tetapi juga soal tanggungjawab dan kestabilan hidup.
"Saya ke arah ini sebab tanggungjawab saya dekat syarikat lagi besar. Untuk mereka dan keluarga mereka juga, kita kena sama-sama cari rezeki.
"Dalam masa sama, saya masih boleh berkarya dan gunakan kreativiti saya,” tambahnya.
Kongsi yang baik-baik
Dalam soal media sosial pula, Jehan mengakui pendekatannya cukup berbeza berbanding kebanyakan selebriti lain.
“Kenapa saya banyak kongsi pasal keluarga? Sebab saya anggap diri saya orang biasa. Saya tak lihat diri saya sebagai artis lagi.
"Saya seorang penerbit. Jadi bila saya berkongsi, saya kongsi macam orang biasa,” ujarnya.
Baginya, apa yang dipaparkan hanyalah perkara yang dekat di hati, bukan untuk mengejar perhatian.
“Sebenarnya, dalam media sosial, kita hanya berkongsi perkara-perkara yang kita sayang. Perkara yang baik, itu yang kita kongsi. Yang lain tu, tak perlu,” katanya.
Dalam masa sama, Jehan juga tidak terlalu mengambil peduli dengan pandangan negatif.

“Sekarang semua orang boleh komen. Mereka boleh komen pasal hidup kita, apa kita buat. Tapi bagi saya, kalau orang nak cakap benda baik, silakan.
"Kalau nak datang cucuk-cucuk, saya block sahaja. Saya buat hidup saya, mereka jaga hidup mereka,” katanya terus terang.
Keluarga campuran
Mendirikan rumah tangga bersama wanita Korea, Julie Camelia Rhee Abdullah, membuka lembaran baharu dalam kehidupan Jehan. Namun perbezaan budaya itu tidak pernah menjadi isu besar.
“Isteri saya sangat ‘genuine’. Apa yang dia nak kongsi, dia kongsi. Apa yang dia tak nak, dia tak kongsi,” katanya.
Malah, prinsip itu juga menjadi asas dalam kehidupan mereka sekeluarga.
“Kita berkongsi perkara yang kita sayang sahaja. Benda yang baik-baik. Itu sahaja,” tambahnya ringkas tetapi penuh makna.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki berusia lima tahun yang lahir ketika pandemik.
Membesar dalam keluarga campuran, anak mereka terdedah kepada bahasa Inggeris dan Korea di rumah.
Namun bagi Jehan, satu perkara yang cukup penting adalah identiti sebagai rakyat Malaysia.
“Anak saya sangat bangga jadi orang Malaysia. Dia memang patriotik. Dia tahu dia orang Malaysia bila dia berada di sini,” katanya.
Walaupun begitu, Jehan tidak menafikan cabaran terbesar adalah dari segi bahasa.
“Di rumah memang tak ada orang cakap Melayu. Isteri saya cakap Korea dan Inggeris, mak mentua pun Korea. Anak saya pun banyak guna dua bahasa itu. Jadi Bahasa Melayu tu kena ada effort lebih.
"Walaupun anak saya belajar Bahasa Melayu di sekolah dan menunjukkan minat, penggunaan harian tetap memainkan peranan penting.
“Dia ada kelas BM di sekolah, dia minat, dia boleh kira dan sebagainya. Tapi sebab tak selalu dengar dan tak selalu bertutur, jadi saya kena letak usaha lebih. Itu sangat penting bagi saya,” katanya.
Tambahnya lagi, keupayaan berbahasa Melayu bukan sekadar kemahiran, tetapi satu keperluan sebagai rakyat Malaysia.

“Kalau kita orang Malaysia, sekurang-kurangnya kena boleh cakap Melayu. Itu bagi saya sangat penting,” tegasnya.
Walaupun sudah lama meninggalkan dunia lakonan secara aktif, Jehan mengakui rasa rindu itu tetap ada.
“Once kita dah berlakon, memang jiwa tu akan rindu. Tapi sekarang sebagai kerjaya, agak susah sebab komitmen saya dengan syarikat,” katanya.
Dengan jadual kerja yang padat dan projek yang sentiasa berjalan, dia tidak lagi mampu memberi komitmen untuk penggambaran jangka panjang.
“Kalau ada cameo satu dua hari, saya okay. Untuk suka-suka. Tapi untuk shooting lama, memang tak boleh sebab tanggungjawab sekarang berbeza.
"Saya melihat perubahan dalam industri hiburan hari ini, khususnya pengaruh media sosial. Dulu kita tak boleh ‘rank’ artis. Sekarang orang tengok berapa ramai follower. Tapi bagi saya, follower itu populariti sahaja. Ia bukan nilai sebenar seorang artis.
"Lagipun, jumlah pengikut tidak menjamin kejayaan dalam apa jua bidang.
“Ada orang follower berjuta-juta, tapi bila jual produk, tak semestinya berjaya. Jadi bagi saya, itu bukan ‘game’ saya. Saya cuma nak terus berkarya,” ujarnya kepada penulis.

