BATU PAHAT – Seorang pengarah syarikat dijatuhi hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat pada Khamis selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu berkaitan penjualan minyak masak paket bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, wanita tempatan berusia 70-an itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Tuan Osman Effendi Mohd Shalleh.
Beliau berkata, kes dikesan sewaktu pemeriksaan Op Tiris yang dijalankan pada 13 Ogos 2024 oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Batu Pahat bersama Jabatan Audit Negara ke atas sebuah syarikat pemborong dan pembungkus berlesen di kawasan tersebut.
“Semasa pemeriksaan, dokumen dan pengisytiharan stok minyak masak syarikat didapati meragukan serta tidak selaras dengan maklumat rantaian peruncit.
“Sebanyak 29,590 kilogram minyak masak bernilai RM73,975 telah disita dan tindakan kes diambil kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
KPDN Johor menegaskan kejayaan pendakwaan ini menunjukkan komitmen kementerian dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan subsidi serta memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang layak.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat penyelewengan melalui WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

