
PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat gagal dalam rayuan keduanya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk memindahkan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pecah amanah yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Tan Hoo Eng selepas memutuskan terdapat kekurangan dalam rayuan wanita itu.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Hadhariah berkata mahkamah membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap rayuan Tan.
“Kami bersetuju dengan timbalan pendakwa raya bahawa keputusan Mahkamah Tinggi (yang menolak memindahkan perbicaraan Tan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi) tidak boleh dirayu kerana ia bukan keputusan muktamad,“ katanya.
Tan, 66, berdepan 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM17 juta daripada syarikatnya Blue Star Molding Sdn Bhd dari 2009 hingga 2013 dan 54 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM25 juta dari 2008 hingga 2014.
Dia dituduh melakukan perbuatan pecah amanah itu di premis syarikat tersebut di Taman Ipoh, Ipoh, Perak manakala pertuduhan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di cawangan CIMB di Taman Tasik Jaya, Ipoh, Perak.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pertama Tan untuk memindahkan perbicaraan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi namun gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Wanita itu kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi kemudiannya menarik balik rayuan tersebut.
Dia kemudian memfailkan permohonan kedua berikutan bukti baharu yang didakwanya memihak kepadanya, tetapi permohonan kedua ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi yang lain pada 2022, menyebabkan dia merayu ke Mahkamah Rayuan.
Susulan keputusan mahkamah rayuan hari ini, perbicaraan Tan akan didengar di hadapan Mahkamah Sesyen. -Bernama

