Pengarah syarikat, pemandu lori didenda RM12,500 miliki diesel tanpa lesen

28 Jul 2026 • 5:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengarah syarikat, pemandu lori didenda RM12,500 miliki diesel tanpa lesen

IPOH – Seorang pengarah sebuah syarikat perlombongan pasir dan pemandu lori didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 2,115 liter minyak diesel tanpa lesen, dua tahun lalu.

Tertuduh, R. Prakash, 43, dan V. Ammasi, 30, juga berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan minyak diesel yang dirampas sebanyak RM6,027.75 bersama tong plastik, tangki IBC dan pam penyedut dilucuthak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa secara bersama didapati berada dalam kawalan barang kawalan berjadual berupa 2,115 liter minyak diesel dalam dua unit tangki IBC yang berada di atas sebuah lori, 15 unit tin jerry dan dua unit tong plastik berwarna biru.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didapati telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara runcit tanpa lesen.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis Trade Shipper Resources, di Jalan Gopeng Bt3, Batu Gajah, di dalam daerah Kinta pada pukul 7.30 pagi, 13 November 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), N. Shamani manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Pengarah syarikat, pemandu lori didenda RM12,500 miliki diesel tanpa lesen appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved