Pengarah syarikat tak mengaku tipu ahli perniagaan RM1.5 juta

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 2:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengarah syarikat tak mengaku tipu ahli perniagaan RM1.5 juta

SEBERANG PERAI – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bagi menandatangani perjanjian pinjaman berjumlah RM1.5 juta, tujuh tahun lalu.

Pon Chee Weng, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun dengan memperdayakannya supaya menandatangani satu perjanjian pinjaman yang menyatakan tertuduh telah memberikan pinjaman sebanyak RM1.5 juta kepada mangsa, sedangkan wang berkenaan tidak pernah disalurkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kota Permai, Bukit Mertajam pada 11 Mei 2019. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan memohon jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Hasanuddin Mohd Yusoff yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dan membantah syarat penyerahan pasport, selain memberi jaminan anak guamnya akan hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap dua bulan. – KOSMO! ONLINE

The post Pengarah syarikat tak mengaku tipu ahli perniagaan RM1.5 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved