Pengarah Urusan VS Industry muncul pemegang saham utama selepas beli 29 juta saham

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 10:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengarah Urusan VS Industry muncul pemegang saham utama selepas beli 29 juta saham

image is not available

03/10/2025 - 10:23

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt – Pengarah Urusan VS Industry Bhd, Datuk Gan Sem Yam muncul sebagai pemegang saham utama syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu selepas membeli 29 juta saham melalui transaksi luar pasaran.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, VS Industry berkata, transaksi itu berlaku pada hari Khamis namun tiada maklumat mengenai harga dagangan dan penjual sahamnya.

Data luar pasaran Bloomberg menunjukkan blok saham tersebut dilaksanakan dalam satu transaksi tunggal pada harga 51.1 sen sesaham, menilai 29 juta saham tersebut pada RM14.82 juta.

Harga ini merupakan diskaun 14.8% berbanding harga penutupan 60 sen.

Susulan pemerolehan ini, pegangannya secara langsung meningkat kepada 4.98% dan beliau juga memiliki pegangannya secara tidak langsung sebanyak 0.68%.

Susulan itu, isterinya, Datin Ling Sok Mooi juga menjadi pemegang saham utama dengan 0.026% pegangan secara langsung dan 5.64% pegangan secara tidak langsung.

image is not available
Datuk Gan Sem Yam

Menariknya, pemerolehan Gan berlaku pada masa yang sama apabila pengerusi eksekutif dan pemegang saham terbesar VS Industry, Datuk Beh Kim Ling, bersama anaknya dan pengarah eksekutif Beh Chern Wei, sedang mengurangkan pegangan mereka dalam syarikat.

Dalam bulan September sahaja, Kim Ling menjual 174.4 juta saham melalui 12 transaksi bernilai RM99.9 juta.

Pegangan secara langsung beliau kini berkurangan kepada 2.38%, manakala pegangan tidak langsung kekal pada 7.29%.

Chern Wei pula menjual 32.3 juta saham atau 0.79% pegangan bernilai RM18.7 juta pada bulan yang sama, mengurangkan pegangan langsungnya kepada 2.42%.

Pemegang saham utama lain VS Industry ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memegang pegangan sebanyak 9.76%.

Dengan 148 juta saham diperdagangkan, kaunter ini juga menjadi saham paling aktif di Bursa Malaysia pada 2 Okt 2025.

Dalam pada itu, VS Industry berkata, syarikat masih berhati-hati dengan prospek masa depannya selepas mencatatkan kerugian bersih RM33 juta bagi suku keempat yang berakhir 31 Julai 2025 (4QFY2025) berbanding keuntungan bersih RM126.6 juta setahun sebelumnya.

Hasil pendapatan juga menurun 29% kepada RM858.8 juta daripada RM1.21 bilion.

Syarikat menyatakan prestasi lebih lemah ini disebabkan duti timbal balik di Amerika Syarikat, salah satu pasaran utama mereka yang memberi impak lebih besar daripada jangkaan kerana penyesuaian pelanggan lebih teruk daripada dijangkakan.

Melangkah ke hadapan, VS Industry menjangka persekitaran operasi akan kekal mencabar, walaupun mereka menyatakan pesanan pelanggan telah meningkat pada suku semasa, dengan beberapa model baharu memasuki pengeluaran besar-besaran. - DagangNews.com

standard