Pengaruh pasangan punca utama penagih dadah wanita meningkat

LocalHealth & Fitness
20 Sep 2026 • 10:16 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengaruh pasangan punca utama penagih dadah wanita meningkat

KOTA BHARU – Pengaruh pasangan sama ada suami atau teman lelaki antara punca utama jumlah penagih dadah dalam kalangan wanita di Kelantan meningkat pada tahun lepas, iaitu sebanyak 598 orang berbanding 526 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata kajian mendapati bahawa tekanan hidup merupakan faktor utama yang diakui oleh keseluruhan responden dengan sebahagian besarnya berpunca daripada konflik rumah tangga dan perlakuan suami yang sering mencetuskan masalah.

“Keadaan ini mendorong wanita menggunakan dadah sebagai satu mekanisme daya tindak untuk melupakan keresahan dan sakit hati terhadap pasangan mereka,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata selain tekanan emosi, wanita juga sering menjadi mangsa manipulasi psikologi oleh pasangan yang menormalkan penggunaan dadah atas alasan kecantikan dan produktiviti.

“Mereka juga turut dipengaruhi oleh orang terdekat untuk mempercayai bahawa dadah jenis stimulan dapat membantu menguruskan badan, mengempiskan perut selepas bersalin serta memberikan tenaga berlebihan untuk menyelesaikan kerja rumah dengan lebih pantas.

“Realiti di lapangan menunjukkan bahawa penglibatan wanita di negeri ini jarang berlaku secara sendirian sebaliknya, risiko keterlibatan menjadi sangat tinggi apabila mereka hidup dalam persekitaran keluarga yang mempunyai ahli (terutamanya suami) yang turut menagih,” katanya.

Beliau berkata, kitaran ini menjadi semakin buruk akibat faktor pengabaian dan kesunyian, khususnya selepas berlaku perceraian atau keretakan hubungan yang menyebabkan wanita mencari ketenangan sementara melalui bahan terlarang.

“Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants merupakan bahan terlarang yang tertinggi diambil oleh golongan wanita di Kelantan pada tahun lepas, iaitu seramai 557 orang, manakala golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun mencatatkan paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah dengan merekodkan sebanyak 409 orang.

“Secara tuntasnya, penagihan wanita di Kelantan sering kali merupakan manifestasi daripada tekanan interpersonal dan manipulasi oleh pasangan dalam sebuah ekosistem domestik yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata AADK turut mengukur keberkesanan atau pencapaian Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) berdasarkan Indeks Kepulihan Klien (IKK) dan pencapaian tersebut bagi klien wanita mencapai 76.4 peratus pada tahun lepas.

“Daripada 55 klien wanita yang dinilai, sebanyak 42 orang berjaya mencapai tahap kepulihan dalam kategori baik dan cemerlang. Angka ini mencerminkan keberkesanan sokongan pusat pemulihan dan penglibatan aktif keluarga dalam membantu klien wanita mengekalkan kepulihan mereka dalam komuniti,” katanya.- Bernama

The post Pengaruh pasangan punca utama penagih dadah wanita meningkat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved