11 termasuk dalang sindiket dadah bernilai RM35.24 juta tumpas

17 Sep 2026 • 9:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 11 termasuk dalang sindiket dadah bernilai RM35.24 juta tumpas

KUALA LUMPUR: Satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah terancang tumpas selepas 11 individu termasuk dalang utama ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 10 September lalu.

Kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki tempatan dan lima warga asing iaitu dua lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 48 tahun.

Dua daripada suspek warga asing yang memegang pasport Kanada dan Australia merupakan dalang utama, sekali gus bertindak sebagai ahli kimia (chemist) bagi sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan siasatan berterusan selepas dua operasi serbuan makmal dadah di Puncak Alam, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan kemudian membawa kepada penemuan bahan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemprosesan dadah.

“Polis menemukan 344.89 kilogram (kg) serbuk disyaki methamphetamine, 344.35kg cecair disyaki methamphetamine serta 320 gram serbuk MDMA.

“Turut dirampas iaitu sepucuk pistol jenis revolver .38 bersama tujuh butir peluru hidup serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Keseluruhannya, sebanyak 689.24kg bahan disyaki methamphetamine dalam bentuk serbuk dan cecair ditemukan bernilai RM35.24 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hussien berkata, kumpulan terbabit dikesan menjadikan rumah banglo di kawasan perumahan dengan kadar sewaan RM3,500 hingga RM4,000 sebulan sejak Januari lalu sebagai premis memproses dadah manakala bahan mentah dipercayai diimport dari luar negara.

“Hasil pasaran dadah ini bukan sahaja untuk keperluan tempatan malah bagi pasaran antarabangsa merangkumi rangkaian ke Indonesia, Sabah, Sarawak, Filipina dan beberapa negara lain melalui laluan udara,” jelasnya.

Jelasnya, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai harta bernilai RM1.8 juta.

“Sitaan ini merangkumi 11 buah kenderaan mewah dan tempatan, jam tangan jenama Audemars Piguet, dua kad bank serta wang tunai RM3,610.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek ketiga positif dadah jenis methamphetamine, selain suspek pertama dan kelapan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala suspek keenam mempunyai rekod kes jenayah,” ujarnya.

Tambah Hussein, lima suspek direman antara 13 hingga 14 hari manakala empat lagi dilepaskan dengan jaminan polis dan dijadikan saksi.

“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala polis masih mengesan saki-baki ahli kumpulan terbabit yang masih bebas,” katanya.-UTUSAN

The post 11 termasuk dalang sindiket dadah bernilai RM35.24 juta tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved