
ALOR SETAR: Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain yang juga Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) meninggal dunia, malam tadi.
Allahyarham Che Ani yang berusia 71 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat strok pada pukul 9.39 malam di Hospital Alor Setar, di sini.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, beliau dimaklumkan bahawa kesihatan arwah semakin merosot sejak kali terakhir turun memperjuangkan nasib petani dalam himpunan pada 13 Ogos lalu.
“Ketika itu kami mengadakan himpunan aman di Kampung Pida 15 bagi menyuarakan isu kelewatan pembekalan baja yang dihadapi para petani, arwah ada bersama dan turut ditemubual oleh wartawan.
“Selepas pada himpunan itu, kesihatan arwah dikatakan semakin merosot sebelum dia meninggal dunia malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan, Allahyarham Che Ani selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Lubuk Ayer, Ayer Hitam di Kubang Pasu, dekat sini.
Che Ani merupakan antara sumber yang sering dirujuk Utusan Malaysia khususnya ketika isu berkaitan petani dan pesawah mencetuskan perhatian.
Sepanjang penglibatannya, arwah dikenali antara individu yang lantang menyuarakan pelbagai isu berkaitan pesawah, khususnya yang membabitkan kepentingan petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Kelantangannya dalam menyuarakan isu petani menjadikan beliau antara suara yang sering tampil apabila berlaku permasalahan membabitkan pesawah sama ada berkaitan pengurusan sawah, bekalan air, input pertanian, harga padi mahupun kebajikan golongan itu.
Justeru, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar kepada warga pesawah dan perjuangan dalam membela nasib golongan petani khususnya di Kedah. – UTUSAN
The post Pejuang nasib petani, Che Ani meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.






