KUALA LUMPUR – Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong mendakwa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai menteri paling gagal sepanjang memegang portfolio Menteri Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025.
Berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh hampir tiga tahun, beliau mendakwa Rafizi tidak berjaya menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain tidak melaksanakan reformasi ekonomi yang diharapkan.
Lum Yong turut mendakwa pelbagai formula ekonomi yang diperkenalkan tidak diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Formula beliau buat hanya sembang sahaja, hanya cakap besar. Rafizi seorang yang gagal, dan tak tunaikan apa yang dicakap. Beliau seorang yang hanya tahu hentam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekarang apabila sokongan tidak berpihak kepadanya, beliau banyak ‘bercakap’, sedangkan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR hingga hari ini hanya berdiam tidak membuat kritikan balas kepada Rafizi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Lum Yong berkata, Rafizi tidak layak menjadi Menteri atau apa-apa jawatan sekali pun kerana beliau bukan seorang ahli politik sebenar, tetapi hanya tahu cari makan sahaja.
“Rafizi seorang yang tidak jujur dan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Beliau tidak layak menjadi pemimpin yang setia kepada rakyat.
“Kritikan Rafizi akan membawa kesan negatif kepada rakyat. Rafizi dudah hilang diri, sekarang dia jadi alat yang tahu kritik Anwar,” katanya.
