'Rafizi kini liabiliti kepada politik negara' – Tajuddin

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 10:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tajuddin (gambar kiri) menyifatkan kritikan Rafizi terhadap Anwar sebagai kenyataan yang 'paling tidak beradab'.

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan sebagai liabiliti bukan sahaja kepada Pakatan Harapan (PH), malah kepada landskap politik negara ketika ini.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Profesor Dr Tajuddin Rasdi berkata, Rafizi yang sebelum ini dianggap aset kepada PH kini dilihat sukar bekerjasama dengan mana-mana pihak, sedangkan realiti politik semasa menuntut kerjasama dalam kerajaan campuran.

Menurutnya, pendekatan Rafizi yang sering mengkritik tanpa menawarkan penyelesaian pragmatik turut menimbulkan persoalan terhadap peranan beliau dalam politik negara.

“Rafizi tidak mendapat sokongan daripada parti komponen kerajaan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO, Amanah dan kebanyakan pemimpin DAP.

“Tiada sesiapa yang akan berkawan dengan seseorang yang mengkritik parti sendiri dan presiden sendiri tanpa segan silu, termasuk ketika demonstrasi,” katanya.

Terdahulu, Tajuddin turut menyifatkan kritikan Rafizi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kenyataan yang 'paling tidak beradab'.

Menurut beliau, dakwaan Rafizi yang menuduh Anwar obses terhadap kuasa dan jawatan Perdana Menteri adalah tidak wajar memandangkan perjuangan panjang yang dilalui Anwar, termasuk berdepan kekerasan polis serta pemenjaraan selama bertahun-tahun.

Selain itu, katanya, tuduhan Rafizi terhadap PKR berhubung isu pengundian dalam parti juga tidak pernah dibuktikan atau dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Dalam pada itu, Tajuddin berkata tindakan Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kalah dalam pertandingan parti juga tidak sepatutnya berlaku.

“Sepatutnya beliau menggerakkan semula penyokong untuk bertanding jawatan presiden secara terhormat dan beradab.

“Tetapi beliau sendiri menyatakan tidak akan menjadi pemimpin PKR dan pada PRU16 akan bertanding secara solo sebagai calon bebas,” katanya.

Bagaimanapun, Tajuddin berpendapat Rafizi sukar memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya bertanding secara bebas atau menubuhkan parti baharu kerana tidak mempunyai sokongan undi yang mencukupi.

Menurutnya, sekiranya undi bukan Melayu berpecah, keadaan itu berpotensi memberi kelebihan kepada parti besar seperti UMNO, Bersatu dan Pas dalam pilihan raya akan datang.