PETALING JAYA - Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska minggu lalu.
Balqish Mohammad Dzyhan, 28, yang memakai baju berwarna merah jambu menundukkan kepala dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh Muhammad Eiden Faheem Mohammed Nor Syafiq di sebuah taska di Bandar Kinrara, Puchong di sini, jam 9.30 hingga 10.40 pagi pada 5 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum gantung, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
**media[3520130]**
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Athirah Jamalullail sementara tertuduh diwakili peguam, Datuk Suraj Singh.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 14 Julai depan untuk laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Turut hadir dalam prosiding itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Nur Syakirah Nor Azam Shah.
