
Ramai ibu bapa yang memilih untuk meletakkan kepercayaan kepada pengasuh ketika mereka keluar mencari nafkah, namun hati ibu bapa mana yang tidak sedih apabila kepercayaan itu dibalas dengan kejahatan.
Itulah yang terjadi kepada ibu bapa seorang bayi empat bulan yang didakwa telah didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok, Terengganu sehingga menyebabkan bayi tersebut koma.
Dalam laporan Astro AWANI, bayi itu mengalami pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bayi lelaki empat bulan koma (alami pendarahan otak&retak tempurung kepala) dipercayai didera pengasuh pusat jagaan berdaftar di Batu Buruk, Terengganu.
Susulan kejadian itu, polis tahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh untuk siasatan. pic.twitter.com/9p0KK6U1xR
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) January 10, 2023
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, kejadian tersebut disedari bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut.
“Mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.
Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama,” katanya.
Pihak polis telah memanggil pengasuh pusat jagaan tersebut untuk membantu siasatan, namun menafikan berlakunya penderaan malah pihak pengasuh itu turut memberikan keterangan yang meragukan.
Bagaimanapun, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah memukul bahagian kepala mangsa dengan tangan, menghempas dan menggoncang tubuh mangsa.
Difahamkan, mangsa baru sahaja didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

![“Setiap Tahun Terlepas” – Bapa Sebak Anak Buat Kejutan Terbang Dari London Demi Sambut Hari Jadi [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
