Pengawal keselamatan wanita cedera tersepit bawah lori kargo

16 Apr 2025 • 9:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan mangsa yang terperosok di bawah lori kargo berkenaan. - Foto BBP Larkin

image is not available
Anggota bomba membawa mangsa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut. - Foto BBP Larkin

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan wanita cedera selepas tersepit bawah sebuah lori kargo selama 20 minit di sebuah kilang di Jalan Taruka, Kawasan Perindustrian Tampoi, di sini pada Rabu.

Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Abdul Wahab Nasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.18 petang.

**media[3087598]**

“Kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah lori kargo datang untuk masuk ke sebuah kilang dalam kawasan perindustrian tersebut dan pengawal keselamatan wanita berkenaan cuba membuka pintu pagar beroda tetapi tidak berhasil kerana terlalu ketat.

“Dia kemudiannya meminta bantuan seorang lelaki untuk menolak pintu pagar berkenaan; namun dalam masa sama lori kargo tersebut yang dipercayai mempunyai masalah brek bergerak sendiri lalu melanggarnya hingga terperosok di bawah lori kargo tersebut.

"Akibatnya, pihak pengurusan kilang menghubungi pihak bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas air lifting,” katanya.

Setelah berjaya diselamatkan, mangsa didapati mengalami kecederaan di kepala dan kaki kiri dan dihantar dengan EMRS ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), bagi menerima rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.43 petang.