Sistem pengecaman wajah Windows Hello tidak lagi boleh digunakan dalam gelap. Ini telah disahkan sendiri oleh Microsoft dengan ia sebenarnya dinyahaktifkan menerusi kemas kini yang diberikan pada April lalu. Sebelum ini Windows Hello boleh digunakan dalam gelap sekiranya PC dilengkapi sistem kamera infra merah.

Ciri ini dimatikan oleh Microsoft bagi menampal kerentanan sekuriti yang ditemukan Nanyang University dimana sistem sekuriti boleh dipintas apabila kamera digunakan dalam gelap. Pengecaman wajah Windows Hello masih lagi boleh digunakan tetapi hanya dalam situasi pencahayaan yang terang.
Ia kini memerlukan pengesahan wajah daripada kamera infra merah dan kamera web berwarna secara serentak sebelum komputer dinyahkunci. Walaupun sistem dimatikan sejak April, ia hanya disedari apabila segelintir pengguna Surface melaporkan isu ini menurut laporan Windows Central.




