Pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah mampu bantu Malaysia dapat balik pasaran yang hilang - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 11:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah mampu bantu Malaysia dapat balik pasaran yang hilang - PublicInvest Image from: Pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah mampu bantu Malaysia dapat balik pasaran yang hilang - PublicInvest hamden20/10/2026 - 11:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Cadangan kerajaan untuk mengecualikan cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) dijangka memberi kelegaan kepada pengeksport tempatan yang berdepan tekanan persaingan harga daripada Indonesia, selain membantu Malaysia mendapatkan semula bahagian pasaran yang hilang.

 

Publi Investment Bank (PublicInvest) percaya cadangan berkenaan akan mendapat sambutan baik dan berpotensi dilaksanakan dalam masa terdekat, terutama ketika inventori minyak sawit Malaysia mencecah paras rekod 3.5 juta tan pada bulan lalu.

 

Pada masa ini, cukai eksport MSM Malaysia ditetapkan pada kadar 10%, manakala Indonesia mengenakan gabungan cukai eksport dan levi sebanyak AS$273 setan, bersamaan kira-kira RM1,113 setan.

 

Struktur kos itu menyebabkan harga MSM Indonesia didagangkan pada diskaun besar antara RM700 hingga RM900 setan berbanding harga MSM Malaysia, sekali gus meletakkan pengeksport tempatan pada kedudukan kurang kompetitif.

 

"Keadaan itu turut menyumbang kepada kehilangan bahagian pasaran Malaysia kepada Indonesia, ketika eksport minyak sawit negara jiran itu meningkat berbanding prestasi penghantaran Malaysia yang kurang memberangsangkan.

 

"Akibatnya, paras inventori minyak sawit kedua-dua negara menunjukkan trend yang semakin berbeza," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Agensi media asing Bloomberg melaporkan Malaysia sedang mempertimbangkan langkah pengecualian cukai eksport itu bagi meningkatkan penghantaran MSM susulan lebihan bekalan yang menekan industri, dengan perbincangan antara Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan pemain industri dilaporkan dijadualkan berlangsung hari ini.

 

Pengecualian cukai perlu diteruskan sehingga inventori susut

PublicInvest menyifatkan cadangan pengecualian cukai eksport MSM yang ditetapkan pada kadar 10% bagi November sebagai langkah tepat pada masanya, terutama selepas India mengurangkan cukai import MSM kepada 5% daripada 10%.

 

Malaysia sebelum ini pernah melaksanakan pengecualian penuh cukai eksport MSM pada 2020 untuk tempoh enam bulan.

 

Bagi menangani lebihan bekalan semasa, firma itu mencadangkan pengecualian itu dikekalkan sehingga paras inventori minyak sawit Malaysia turun di bawah dua juta tan.

 

Langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada pemain sektor huluan, khususnya pengeluar yang berpotensi menikmati peningkatan permintaan dan penghantaran apabila daya saing harga MSM Malaysia bertambah baik.

 

Bagaimanapun, pemain sektor hiliran mungkin berdepan tekanan margin sekiranya harga bahan mentah meningkat susulan pemulihan permintaan.

 

Pengeluaran lebih tinggi sokong prospek pendapatan

Selain potensi manfaat daripada pengecualian cukai eksport, sektor perladangan turut dijangka mencatat prestasi pendapatan yang kukuh pada suku ketiga 2026, disokong peningkatan pengeluaran dan harga MSM yang lebih tinggi.

 

Secara keseluruhan, pendapatan sektor perladangan dijangka lebih kukuh pada separuh kedua 2026, didorong pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi, kos pengeluaran lebih rendah serta peningkatan harga jualan produk MSM.

 

PublicInvest mengekalkan penarafan Overweight bagi sektor perladangan, dengan Sarawak Plantation dan Ta Ann sebagai pilihan utama berdasarkan potensi hasil dividen antara 7% hingga 9% serta pertumbuhan pengeluaran BTS yang mengatasi purata industri. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved