Pengecualian duti setem 100% bagi pemilikan rumah pertama diteruskan - MOF

9 Jun 2023 • 5:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengecualian duti setem 100% bagi pemilikan rumah pertama diteruskan - MOF

zulfadli

09/06/2023 - 17:16

KUALA LUMPUR 9 Jun - Seperti mana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023, kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE), pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Katanya, pengecualian duti setem 100% diberi bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000 dan pengecualian duti setem 75% diberi bagi pembelian rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta.

"Layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah bersetuju supaya duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1 juta pertama nilai harta tanah.

"Baki selebihnya daripada nilai harta tanah tersebut tertakluk kepada kadar duti 'ad valorem' dan diberi remisi sebanyak 50% ke atas duti setem yang dikenakan," katanya.

Katanya, layanan duti setem itu terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023. - DagangNews.com