Pengecualian gaji minimum pekerja asing galak kebergantungan buruh murah

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 2:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengecualian gaji minimum pekerja asing galak kebergantungan buruh murah

PETALING JAYA: Pemimpin DAP digesa menghentikan pertelingkahan dalaman parti berhubung isu gaji minimum dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah struktur gaji rendah yang membebankan rakyat.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Lee Chean Chung dan Sum Dek Joe berkata, perbalahan antara dua pemimpin DAP iaitu Lim Guan Eng dan Teng Chang Khim berhubung cadangan gaji minimum memperlihatkan keutamaan politik kepartian mengatasi nasib pekerja tempatan.

Menurut mereka, kenyataan Guan Eng yang mencadangkan supaya pekerja asing dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum adalah tidak munasabah dari sudut ekonomi kerana ia hanya akan menggalakkan majikan terus bergantung kepada buruh murah berbanding mengambil pekerja tempatan.

“Membayar gaji lebih rendah kepada pekerja asing menjadikan mereka lebih murah untuk diambil bekerja. Ini mengurangkan dorongan kepada syarikat untuk melabur dalam automasi dan meningkatkan produktiviti. Sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau sepatutnya memahami asas ekonomi ini,” katanya dalam kenyataan,hari ini.

Pada masa sama, mereka berkata, tindakan Chang Khim merujuk kepada Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 100 bagi menyangkal cadangan Guan Eng adalah mengelirukan orang ramai.

Jelas mereka, Konvensyen No. 100 sebenarnya berkaitan prinsip kesaksamaan gaji mengikut jantina, bukannya kewarganegaraan, manakala Konvensyen No. 97 yang berkaitan diskriminasi kewarganegaraan pula hanya terpakai di Sabah dan tidak berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia atau Sarawak.

Dalam pada itu, mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan Belanjawan 2027 yang mahu menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 bermula Jun 2027, tetapi mengecualikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM50 juta.

“Pengecualian ini mewujudkan perlindungan gaji yang tidak saksama dan berisiko dimanipulasi oleh syarikat. 

“Lebih membimbangkan, ramai pekerja tempatan yang bergaji rendah bekerja dalam sektor PMKS, sekali gus menyebabkan mereka tercicir daripada menikmati kenaikan tersebut,” katanya.

Tambah mereka, Bersama mencadangkan peluasan Kerangka Gaji Progresif (PWP) serta pelaksanaan Levi Pekerja Asing Berperingkat (MTLM) menerusi Belanjawan Alternatif 2027 bagi mendorong majikan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja murah dan meningkatkan produktiviti secara mampan. –UTUSAN

The post Pengecualian gaji minimum pekerja asing galak kebergantungan buruh murah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved