
KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum yang bakal dilaksanakan perlu melibatkan pekerja tempatan, bukan pekerja asing.
Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan beban kos tambahan kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang bergantung kepada pekerja asing akibat kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan.
“Contohnya, kalau naik RM300, itu bermakna pekerja asing akan dapat RM300 lebih daripada apa yang dipersetujui di antara kedua-dua pihak.
“Ini tentu akan menambahkan beban kewangan kepada majikan dan juga perniagaan tempatan. Kita harus menjaga kepentingan dan melindungi perniagaan tempatan kita sendiri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini bersama beberapa Ahli Parlimen lain, Chong Zhemin (DAP-Kampar) dan V. Ganabatirau (DAP-Klang).
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka akan dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakan dan kajian bagi pelarisan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Guan Eng turut berkata, majikan tidak seharusnya dipersalahkan kerana mengambil pekerja asing kerana mereka berdepan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan, khususnya dalam kalangan PMKS.
Katanya, masalah itu bukan hanya berlaku di Semenanjung, malah turut dihadapi perniagaan di Sabah dan Sarawak.
“Jangan salahkan majikan sekiranya mereka mengambil pekerja asing. Mereka terpaksa mengambil pekerja asing kerana susah untuk cari pekerja-pekerja tempatan, khususnya PMKS.
“Ini satu masalah yang menghantui semua PMKS,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mencadangkan kerajaan memansuhkan caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dan dua peratus caruman majikan bagi mengurangkan kos yang ditanggung perniagaan.
Katanya, pekerja asing juga tidak sepatutnya diberi kenaikan gaji minimum kerana ia menyebabkan kos operasi majikan meningkat.
“Kami berpandangan jagalah warganegara dan perniagaan Malaysia. Saya minta Perdana Menteri ingat, charity begins at home.
“Perniagaan Malaysia hanya boleh bergantung kepada Perdana Menteri untuk jaga mereka.
“Saya rasa ini satu masalah yang mendesak dan amat membimbangkan. Kita harap Perdana Menteri melihat perkara ini dan menjaga perniagaan Malaysia,” katanya.-UTUSAN
The post Jangan libatkan pekerja asing dalam kenaikan gaji minimum appeared first on Utusan Malaysia.





