
KUALA LUMPUR: ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun, disahkan tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Susulan tindakan itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar (gambar) adalah tidak berkuat kuasa.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, Y.A.M. Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dengan sendirinya telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.”
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang bagi Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya lagi.
Tunku Panglima Besar merupakan salah satu daripada jawatan penting dalam struktur Putera Yang Empat Negeri Sembilan, yang mempunyai peranan tersendiri dalam institusi diraja dan sistem adat perpatih negeri berkenaan.
Krisis membabitkan institusi adat itu mula tercetus pada bulan lepas apabila Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga pada 5 Jun, menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Anwar memberi amaran bahawa sebarang langkah untuk menyingkirkan atau menurunkan seorang Raja Pemerintah negeri akan memberikan implikasi yang mendalam terhadap negara serta kestabilannya.
“Mengikut keadaan semasa, kita terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dan menggesa agar sebarang perbezaan pandangan diselesaikan menerusi proses perlembagaan yang sah di sisi undang-undang tanpa mencetuskan kebimbangan awam yang tidak perlu,” kata Anwar.





