Pengeluaran buah tandan segar United Malacca diunjur naik pada FY26, kata TA Securities

23/09/2025 - 15:25
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 Sept - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) United Malacca Berhad diunjur meningkat pada tahun kewangan 2026 (FY26) didorong profil umur pokok yang optimum serta peningkatan kecekapan operasi, kata TA Securities.
Katanya, faktor asas seperti pokok dalam usia matang serta inisiatif penambahbaikan produktiviti di ladang dijangka menyokong pertumbuhan hasil pada tahun ini.
"Dengan usia pokok kelapa sawit kini berada pada tahap optimum dan fokus utama terhadap keberkesanan operasi, kami yakin kumpulan itu dapat mencapai pengeluaran yang lebih tinggi pada FY26," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, hasil 1QFY26 kumpulan meningkat 17% kepada RM191.6 juta daripada RM163.9 juta.
Harga purata minyak sawit mentah meningkat sedikit kepada RM4,001 setiap tan daripada RM3,989, manakala harga isirung sawit melonjak 30% kepada RM3,151 setiap tan daripada RM2,415.
Operasi syarikat itu di Malaysia mencatat kenaikan 42% dalam untung kasar kepada RM56.7 juta manakala operasi di Kalimantan, Indonesia pula melonjak 246% kepada RM9.34 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, sebagai syarikat huluan tulen dalam industri sawit, prestasi kumpulan itu sebahagian besarnya dipengaruhi harga minyak sawit mentah, hasil BTS dan kos pengeluaran.
Walaupun pasaran minyak sayuran global kekal tidak menentu akibat bekalan kacang soya Amerika Selatan yang berlebihan dan dasar perdagangan antarabangsa, firma penyelidikan itu optimis permintaan bahan api bio yang kukuh mampu memberi sokongan kepada harga minyak sawit mentah.
"Ketidakstabilan dijangka berlaku disebabkan faktor cuaca dan perubahan dasar perdagangan, khususnya tarif antara China-AS, yang seterusnya boleh menjejaskan daya saing minyak sawit mentah serta permintaan dalam pasaran minyak sayuran global," katanya.
TA Securities menyemak naik penarafan kumpulan kepada "beli" daripada "pegang" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM6.29 sesaham. - DagangNews.com
standard

