TA Securities mulakan liputan ke atas SDS Group dipacu kedudukan strategiknya dalam kawasan JS-SEZ

23/09/2025 - 11:21
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 Sept - TA Securities memulakan liputan ke atas SDS Group Berhad dengan saranan "pegang" pada harga sasaran (TP) 85 sen dipacu peningkatan hasil daripada peningkatan kehadiran pelancong dari Singapura serta kedudukan strategiknya di dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Katanya, berdasarkan kedudukan kukuhnya di Johor, SDS sedang berkembang ke wilayah tengah untuk merebut pasaran yang lebih besar dengan sasaran pembukan sehingga lima cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga sedang mengukuhkan rangkaian pengedarannya bagi meningkatkan capaian produk selain memastikan tahap kesegaran yang baik.
"SDS dijangka meraih manfaat daripada inisiatif JS-SEZ, yang dijangka meningkatkan trafik dari Singapura.
"Dengan outlet yang terletak di kawasan pelancongan utama dan kawasan perumahan, ditambah pula dengan kilang pengeluaran yang strategik ia berada pada kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan jualan rentas sempadan," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities berkata, didorong pertumbuhan populasi, peningkatan kedatangan pelancong, perbelanjaan domestik yang kukuh, serta peningkatan penggunaan barangan bukan keperluan asas, permintaan terhadap roti dan perkhidmatan makanan & minuman (F&B) terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh.
"Kami percaya SDS berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini dengan memperluaskan kehadirannya di Lembah Klang dan seluruh rantau.
"Bagi menyokong pertumbuhan hasil jangka panjang, kumpulan telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik, termasuk peluasan rangkaian runcit dan rangkaian pengedaran borong," katanya.
Katanya, SDS telah membina reputasi kukuh sebagai kedai roti pilihan, terkenal dengan produk bakeri yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan, khususnya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu kekal sebagai pilihan popular untuk pastri harian mahupun kek hari jadi.
"Menariknya, rakyat Singapura menyumbang sekitar 5% hingga 6% daripada jualan kumpulan pada FY25, di mana ramai pelanggan Singapura sering singgah di cawangan SDS untuk membeli pastri dalam jumlah besar untuk dibawa pulang, sekali gus menonjolkan daya tarikan rentas sempadan jenama tersebut.
"Walaupun SDS telah mencapai kejayaan kukuh di Johor, kumpulan itu telah berkembang di luar Johor, dengan produk kini boleh didapati di 10 daripada 11 negeri di Semenanjung Malaysia di bawah jenama borong dan runcitnya," katanya.
Melangkah ke hadapan, fokus SDS adalah untuk memperkukuh kesedaran jenama serta memperluas capaian pasaran dan kehadiran geografi, dengan tumpuan khusus pada segmen pengguna berpendapatan mampu milik dan kumpulan B40, terutama di wilayah tengah.
Bagi mengekalkan daya saing menentang jenama mapan seperti Gardenia dan Massimo, kumpulan ini memanfaatkan kepelbagaian produk serta strategi perbezaan harga, menawarkan penjimatan sekitar 10 hingga 30 sen bagi setiap buku roti.- DagangNews.com
standard
